Tuanku Muhriz titah Ismail kekal MB, isu surat peletakan jawatan terjawab

KUALA LUMPUR – Kemelut kepimpinan Negeri Sembilan menyaksikan perkembangan baharu apabila Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Datuk Ismail Lasim meneruskan tugas sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.

Ismail mengesahkan perkara itu selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di Seremban pada Jumaat sambil menegaskan komitmennya untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab berkenaan dengan penuh dedikasi.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatan Menteri Besar bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.

“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 November lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban lapor Bernama.

Ismail turut menyatakan kesediaannya untuk meneruskan khidmat selepas mendapat titah Tuanku Muhriz, sekali gus memberi perkembangan terbaharu terhadap kemelut politik yang melanda negeri itu.

Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap pada jam 10.17 pagi untuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Turut hadir ialah Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.

Isnin lalu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada hari sama, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam 30 minit, bermula jam 5 petang hingga 6.30 petang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat