Setiap perjalanan pastinya lebih bermakna apabila segala urusan berjalan lancar, termasuk soal pembayaran ketika meneroka destinasi baharu. Tidak perlu lagi terlalu risau mencari tempat menukar wang atau membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak, sebaliknya pelancong kini mempunyai pilihan lebih mudah menerusi pengenalan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia.
Inisiatif hasil kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. itu diperkenalkan bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), sekali gus menjadikan pengalaman pelancong antarabangsa ketika berada di Malaysia lebih mudah, selamat dan selesa.
Menariknya, pengenalan kad berkenaan bukan sekadar usaha memperluas penggunaan pembayaran tanpa tunai, sebaliknya hadir sebagai jawapan kepada keluhan pelancong yang berdepan kesukaran menggunakan kad pembayaran atau kod QR dari negara asal mereka ketika berkunjung ke Malaysia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, idea kerjasama itu tercetus selepas pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada pengusaha pelancongan di luar negara serta pelancong sendiri yang mahukan kemudahan pembayaran lebih praktikal.
Menurutnya, masih ramai pelancong memilih untuk membawa wang tunai kerana kad yang dimiliki tidak semestinya boleh digunakan di semua premis, manakala sistem pembayaran kod QR dari negara asal pula tidak mendapat penerimaan menyeluruh di Malaysia.
Keadaan itu menyebabkan pelancong terpaksa memikirkan alternatif lain setiap kali ingin membuat pembayaran, sedangkan mereka sepatutnya dapat menikmati perjalanan tanpa dibebani urusan kewangan yang merumitkan.
Justeru, kerjasama bersama Merchantrade dilihat sebagai satu langkah tepat untuk menawarkan penyelesaian yang lebih mesra pelancong, khususnya menerusi kad prabayar yang membolehkan pengguna memasukkan wang mengikut keperluan dan mendapatkan semula baki yang tidak digunakan.
Lebih menarik, kemudahan itu bukan hanya tertumpu kepada pelancong asing yang datang ke Malaysia. Rakyat tempatan juga boleh memanfaatkan kad berkenaan ketika melancong ke luar negara.
Mohd Amirul Rizal menjelaskan, pengguna hanya perlu memasukkan wang dalam Ringgit Malaysia sebelum melakukan transaksi di negara lain kerana sistem berkenaan akan membuat penukaran mata wang secara automatik mengikut kadar pertukaran yang ditetapkan.
Ini bermakna, mereka yang merancang percutian ke Korea Selatan, Jepun atau Thailand tidak perlu terlalu pening memikirkan urusan pertukaran wang sebelum memulakan perjalanan.
Sementara itu, Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran berkata, kerjasama tersebut bermula selepas pihaknya menerima pendekatan daripada Tourism Malaysia untuk meneroka peluang menyediakan kemudahan pembayaran yang bersesuaian dengan keperluan industri pelancongan.
Beliau menyifatkan peluang itu sebagai satu tanggungjawab besar buat Merchantrade, lebih-lebih lagi apabila syarikat berkenaan diberikan kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif rasmi Visit Malaysia 2026–2027.
Menurutnya, Merchantrade menyasarkan sebanyak 10,000 kad untuk diperkenalkan pada peringkat awal dan jumlah berkenaan akan ditambah secara berperingkat mengikut permintaan pasaran.

Dengan rangkaian 96 cawangan di seluruh negara, pelancong boleh mendapatkan kad tersebut di lokasi terpilih termasuk beberapa pusat beli-belah utama. Merchantrade juga akan bekerjasama dengan lebih banyak premis perniagaan bagi menawarkan diskaun serta keistimewaan kepada pemegang kad, merangkumi penginapan hotel, makanan dan minuman, pengangkutan serta tarikan pelancongan.
Kad prabayar berkenaan turut menyokong rangkaian Visa dan pembayaran DuitNow QR di seluruh negara, selain menyediakan kemudahan pembayaran tanpa sentuh menerusi Google Wallet dan Samsung Wallet.
Apa yang lebih penting, inisiatif ini turut membuka ruang kepada pelancong untuk berbelanja dengan lebih mudah di premis tempatan, sekali gus membantu peniaga dan pengusaha pelancongan meraih manfaat daripada peningkatan kehadiran pelawat antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Mohd Amirul Rizal menegaskan Tourism Malaysia tidak mengehadkan kerjasama pembayaran digital kepada mana-mana syarikat atau institusi kewangan sahaja.
Sebaliknya, pihaknya terbuka untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan pemain industri lain bagi memastikan kemudahan pembayaran yang ditawarkan kepada pelancong terus berkembang dan memenuhi keperluan pasaran.
Usaha mempromosikan kemudahan tersebut juga akan diperluas menerusi 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara, termasuk di London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah bagi memperkenalkan kad berkenaan kepada pelancong serta pengusaha pelancongan antarabangsa.
Dalam masa sama, Malaysia merekodkan 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Angka itu memperlihatkan potensi besar industri pelancongan negara yang memerlukan sokongan pelbagai sektor, termasuk kemudahan kewangan dan teknologi digital bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan dunia.
Hakikatnya, keindahan sesebuah negara bukan hanya terletak pada panorama alam, kepelbagaian budaya atau keenakan makanan yang ditawarkan, tetapi turut bergantung kepada pengalaman yang dibawa pulang oleh setiap pengunjung.
Melalui kerjasama Tourism Malaysia dan Merchantrade, usaha memudahkan urusan pembayaran ini diharap menjadi satu lagi tarikan yang menjadikan kunjungan ke Malaysia lebih menyenangkan, selari dengan aspirasi kempen Malaysia, Indah Milik Anda (Malaysia, Beautifully Yours).



