KUALA LUMPUR -Menteri Pengangkutan Anthony Loke membidas kebimbangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berhubung keperluan tandatangan Menteri bagi kelulusan operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Loke menegaskan, perkara utama sebelum pelancaran sistem rel ialah aspek keselamatan dan kesiapsiagaan, termasuk risiko kecurian kabel, sistem semboyan, kawalan pergerakan penumpang serta pengurusan krisis.
“Jangan terlalu berkira tentang perkara kecil,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, ketiadaan Menteri Pengangkutan tidak akan mengganggu pentadbiran kementerian kerana sistem kerajaan mempunyai mekanisme untuk memastikan urusan berjalan seperti biasa.
“Kalau sesebuah kementerian tidak diketuai oleh Menteri, Perdana Menteri boleh menanggung portfolio tersebut atau melantik Menteri lain untuk menjalankan tugas itu buat sementara waktu,” katanya dalam kenyataan.
Loke berkata, kuasa tersebut termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, sambil menekankan kepercayaan kepada Ketua Setiausaha dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam menguruskan urusan berkaitan.
Isu itu timbul selepas Ka Siong mempersoalkan siapa yang akan menandatangani kelulusan berkaitan operasi ECRL berikutan peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 November.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, sebelum ini mengesahkan tandatangan Menteri diperlukan bagi kelulusan tersebut dan perkara itu telah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha kementerian.
ECRL dijadualkan mula beroperasi pada 12 Disember ini.



