ALOR SETAR – UMNO Kedah menggesa pihak berkuasa segera menyiasat Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang memuatnaik di media sosial butiran Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan keputusan pengampunan bersyarat Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Tony Pua itu jelas berniat jahat dan telah melampaui batas perundangan.
“Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dan Tony Pua serta DAP perlu segera disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya, saya kira tindakan Tony Pua itu sudah melampaui batas kerana berniat jahat terhadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong”.
“Tony Pua sengaja berbuat demikian dengan niat mencabar kuasa Prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan beliau juga telah mencabar undang-undang negara berkaitan Akta Rahsia Rasmi 1972”, katanya dalam kenyataan kepada media.
Tambah Mahdzir, adalah sesuatu yang pelik apabila dokumen berstatus sulit yang masih belum dinyahklasifikasikan tetapi sudah disebarkan isi kandungannya kepada umum.
Tindakan itu katanya, jelas mempunyai motif tertentu dan dirancang untuk mencetuskan polemik baharu berkaitan isu pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib.
“Kalau dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan itu telah dinyahklasifikasikan, kenapa tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan?”
“Ini menunjukkan bahawa minit mesyuarat itu diperolehi secara tidak sah dan ada pihak yang sengaja membocorkannya dengan niat yang tidak baik khususnya menjurus kepada memperlekehkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong”.
UMNO Kedah katanya, akan membuat satu laporan polis dan menggesa siasatan segera dijalankan bagi mencari dalang disebalik penyebaran dokumen sulit minit mesyuarat tersebut.
“Tony Pua jangan bertindak membaling batu sembunyi tangan, beliau perlu menjelaskan dari mana sumber maklumat dan butiran minit mesyuarat itu diperolehi?”
“Cukup-cukuplah bermain politik kotor yang melampaui batas undang-undang sehingga mencetuskan ketidakharmonian dalam negara ini dan lebih teruk lagi mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong”, katanya.


