LTAT tegaskan pembida Boustead Plantations dinilai ikut kriteria ketat, bukan saiz syarikat semata-mata

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menegaskan bahawa semua pembida yang terlibat dalam cadangan transaksi membabitkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) dinilai berdasarkan kriteria ketat yang telah ditetapkan, termasuk status perbadanan, kemampuan pembiayaan dan kesesuaian strategik.

LTAT dalam kenyataan media hari ini menjelaskan bahawa proses bidaan dilaksanakan secara kompetitif dengan mengutamakan integriti, tadbir urus yang baik serta kepentingan jangka panjang pencarumnya, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut LTAT, penilaian terhadap pembida tidak dibuat berdasarkan saiz syarikat semata-mata, sebaliknya mengambil kira keupayaan dan komitmen setiap pihak untuk melaksanakan transaksi yang dicadangkan.

“Kepastian pelaksanaan merangkumi keupayaan pembiayaan yang terbukti, manakala kesesuaian strategik dinilai berdasarkan keupayaan dan komitmen setiap pembida, bukan semata-mata berdasarkan saiznya,” menurut kenyataan itu.

LTAT turut mengesahkan bahawa semua pembida merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan/atau syarikat Bumiputera, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurutnya, status perbadanan setiap pembida perlu dikenal pasti dengan jelas dan disahkan oleh penasihat pihak ketiga yang bebas sebelum dibenarkan menyertai proses bidaan.

Selain kemampuan kewangan, LTAT turut mengambil kira kesinambungan komitmen sedia ada terhadap komuniti Angkatan Tentera sebagai sebahagian daripada pertimbangan dalam memilih pembida yang sesuai.

Bagi memastikan ketelusan proses berkenaan, aktiviti pelaburan LTAT juga melalui beberapa peringkat kelulusan yang melibatkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah serta pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

LTAT berkata, proses transaksi dan penilaian bidaan dilaksanakan secara ketat bagi melindungi tadbir urus serta kredibiliti institusi itu.

Bagaimanapun, LTAT menjelaskan bahawa cadangan transaksi membabitkan BPlant masih tertakluk kepada proses yang sedang berjalan dan belum ada sebarang perjanjian muktamad dimeterai.

Sehubungan itu, sebarang pengumuman atau pendedahan lanjut hanya akan dibuat pada masa yang bersesuaian mengikut keperluan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media baru-baru ini berhubung cadangan transaksi membabitkan BPlant yang menimbulkan perhatian terhadap proses pemilihan pembida.

LTAT menegaskan bahawa pihaknya kekal fokus terhadap mandat untuk menguruskan dana persaraan anggota ATM secara bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kepentingan pencarum dalam setiap keputusan pelaburan.– Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat