KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis terus diperkukuh dalam suasana penuh mesra apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini, pagi tadi.
Lawatan pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Perancis itu menjadi detik penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara, khususnya dalam usaha mempererat kerjasama serta persefahaman mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama.
Pemilihan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi sambutan rasmi turut memberikan makna tersendiri apabila mercu tanda bersejarah berusia lebih 100 tahun itu menjadi latar kepada pertemuan kedua-dua pemimpin.
Anwar menerusi hantaran di Facebook menyifatkan sambutan berkenaan sebagai cukup bermakna kerana berlangsung di sebuah bangunan yang mempunyai kaitan rapat dengan sejarah dan perjalanan kemerdekaan negara.
“Ini merupakan lawatan pertama Presiden Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan. Sambutan ini cukup bermakna tatkala ia berlangsung di mercu bersejarah berusia lebih 100 tahun, yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kemerdekaan negara,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, selepas istiadat pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan, beliau dan Macron mengadakan pertemuan empat mata yang berlangsung selama hampir satu jam.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis, selain menjadi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik semasa serta isu yang menyentuh kepentingan bersama.
“Usai istiadat pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan, saya dan Presiden Macron mengadakan pertemuan empat mata selama hampir satu jam.
“Kami bicarakan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis, di samping bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serta isu lain yang menyentuh kepentingan bersama,” katanya.
Pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk meneruskan hubungan diplomatik yang erat, di samping memperluas ruang dialog dan kerjasama dalam menghadapi perkembangan antarabangsa yang semakin kompleks.
Lawatan Macron juga berlangsung ketika Malaysia dan Perancis berusaha meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik, sebagaimana digariskan dalam kenyataan rasmi Kementerian Luar Negeri bertarikh 16 November.
Kerangka kerjasama itu merangkumi beberapa bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan serta pendidikan.
Dari sudut ekonomi, Perancis merupakan antara rakan dagang penting Malaysia di Eropah, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM17.78 bilion pada 2025.
Hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957 turut menyediakan asas kukuh kepada kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam bidang yang memberikan manfaat bersama.
Selain mempererat hubungan pada peringkat kepimpinan, kunjungan Macron dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh persefahaman Malaysia-Perancis serta meneroka potensi kerjasama baharu dalam pelbagai sektor strategik.
Pertemuan Anwar dan Macron di mercu tanda bersejarah ibu negara itu sekali gus menandakan kesinambungan hubungan persahabatan kedua-dua negara, dengan tumpuan terhadap usaha membina kerjasama yang lebih erat dan saling menguntungkan pada masa hadapan.



