RM4.67 juta jadi RM1,000: Akmal desak Hannah Yeoh perjelas asas pengurangan premium tanah KLSCAH, jangan pusing isu

KUALA lumpur – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menjelaskan secara terperinci keputusan mengurangkan premium tanah Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 bagi tempoh pajakan 99 tahun.

Beliau mempersoalkan asas penilaian dan justifikasi pengurangan premium itu, termasuk syarat yang dikenakan kerajaan sehingga nilai asal berkenaan dikurangkan hampir 100 peratus.

Menerusi kenyataan yang ditujukan kepada Hannah, Akmal berkata persoalan yang dibangkitkannya mudah, iaitu mengapa premium bagi tempoh pajakan 99 tahun yang dinilai RM4.67 juta akhirnya ditetapkan pada RM1,000.

Adun Merlimau itu turut meminta kerajaan mengemukakan penyata kewangan beraudit bagi menyokong dakwaan bahawa KLSCAH mencatatkan defisit RM400,000 setahun.

“Rakyat berhak tahu sama ada angka itu merujuk kepada operasi bangunan atau keseluruhan persatuan,” katanya.

Akmal turut mempersoalkan dakwaan bahawa KLSCAH bersedia menukar status tanah kepada institusi dan melepaskan potensi pembangunan kondominium atau pusat beli-belah.

Menurutnya, bangunan berkenaan sudah berstatus warisan sejak 2007, justeru kerajaan perlu menjelaskan apakah hak pembangunan yang masih wujud sebelum pertukaran status itu serta apakah sebenarnya yang dilepaskan.

Dalam isu berasingan, beliau mempertikaikan perbandingan keputusan itu dengan isu sewaan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, rakyat memahami bahawa premium tanah dan sewa rumah merupakan dua perkara berbeza, namun persoalan sebenar ialah pertimbangan kerajaan dalam memberikan kelonggaran.

“Yang rakyat persoalkan ialah pertimbangan kerajaan dalam memberi kelonggaran. Bila penghuni PPR susah nak bayar sewa, tindakan boleh diambil. Dalam kes ini, premium RM4.67 juta boleh turun hampir 100 peratus,” katanya.

Beliau turut meminta Hannah menjelaskan bagaimana diskaun 50 peratus yang diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada peniaga selama dua tahun boleh dibandingkan dengan pengurangan hampir 100 peratus bagi premium tanah untuk tempoh 99 tahun.

Akmal menegaskan persoalan yang dibangkitkan berkisar kepada angka, syarat dan asas keputusan, bukannya isu kaum.

“Kalau keputusan kerajaan terdahulu dijadikan sandaran, apa yang kerajaan Madani buat secara berbeza atas nama reformasi? Terbitkan penilaian asal, alasan pengurangan premium dan syarat yang dikenakan,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan pernah menilai pilihan mengambil alih bangunan berkenaan untuk tujuan pemeliharaan warisan serta membuka akses percuma kepada orang ramai.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan jaminan akses awam dan pihak yang bertanggungjawab menanggung kos penyelenggaraan bangunan itu.

Akmal mempersoalkan mengapa KLSCAH mahu terus memegang tanah berkenaan selama 99 tahun sekiranya operasi bangunan itu benar-benar mengalami defisit RM400,000 setahun dan tanah tersebut dikatakan tidak mempunyai nilai komersial.

“Dan atas asas apa kerajaan bersetuju menetapkan premiumnya pada RM1,000?” soalnya.

Beliau menggesa Hannah menjawab setiap persoalan yang dikemukakan dan tidak mengalihkan perbahasan kepada tuduhan bahawa pihak yang membangkitkan isu berkenaan menunggang agama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat