SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan Menteri Besar baharu susulan kemelut politik dan pentadbiran yang melanda negeri itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengemukakan nama Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, sebagai calon Menteri Besar baharu untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu merupakan bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dan antara pemimpin utama UMNO negeri yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
Peletakan jawatan Ismail disahkan menerusi kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang memaklumkan Ahmad Zahid telah menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November 2026.
Surat berkenaan telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Menurut Zambry, BN menghormati keputusan Ismail dan merakamkan penghargaan atas segala khidmat baktinya sepanjang menerajui pentadbiran Negeri Sembilan.
“BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur dengan mengambil kira kedudukan majoriti ADUN serta perkenan Tuanku Muhriz.
Zambry turut mengesahkan bahawa Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi itu tidak menamakan calon yang bakal dikemukakan.
Ismail dilantik sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN dalam PRN Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi dan Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi.
Pentadbiran beliau bagaimanapun berdepan kemelut berpanjangan susulan pertikaian berkaitan kedudukan institusi diraja negeri yang turut menjejaskan fungsi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sebelum ini, nama Jalaluddin turut dikaitkan dengan kemungkinan menggantikan Ismail, namun beliau menafikan dakwaan wujud rancangan membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Perkembangan terbaharu itu kini meletakkan perhatian kepada keputusan Ahmad Zahid dalam mengemukakan calon pengganti serta perkenan Tuanku Muhriz bagi membolehkan pentadbiran negeri kembali berjalan seperti biasa. — Suara.TV



