ANTALYA – Malaysia mendesak pembiayaan iklim yang mencukupi dan mudah diakses bagi memastikan negara mendapat sokongan kewangan diperlukan untuk menangani perubahan iklim, selain memperjuangkan pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.
Tuntutan itu menjadi antara agenda utama delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, pada Persidangan Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP31) di Antalya, Türkiye, dari 9 hingga 20 November ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh adaptasi dan daya tahan terhadap perubahan iklim serta mengurangkan pelepasan gas rumah kaca.
Malaysia berpandangan tindakan iklim di peringkat global perlu dilaksanakan secara adil dan inklusif dengan mengambil kira keutamaan pembangunan setiap negara.
Arthur dijadual menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada 17 November bagi menegaskan pendirian negara berhubung agenda tindakan iklim serta kepentingan kerjasama antarabangsa.
Penyertaan Malaysia di COP31 turut dimanfaatkan untuk memperkukuh hubungan dengan negara ASEAN dan rakan global, khususnya dalam pembangunan rendah karbon, teknologi hijau serta pelaburan mampan.
Bagi mengetengahkan inisiatif dan pencapaian negara, NRES menerusi Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) turut menyediakan Pavilion Malaysia bertemakan Climate Action Now: Driving Resilient Growth.
Sebanyak 49 program merangkumi tujuh kluster utama akan dianjurkan dengan penyertaan tujuh kementerian serta kerajaan negeri sebagai rakan strategik.
Pavilion itu turut menjadi platform dialog, perkongsian kepakaran, mesyuarat dua hala dan penerokaan peluang pelaburan bersama rakan antarabangsa.
NRES berharap hasil rundingan teknikal dan kewangan COP31 dapat mempercepat penyelarasan komitmen iklim antarabangsa ke dalam dasar domestik, termasuk menerusi kerangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) yang akan datang.
Rundingan berkenaan juga penting dalam menyokong sasaran puncak pelepasan gas rumah kaca Malaysia antara 2029 hingga 2034 serta peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon dan sifar bersih.



