Agama bukan perlindungan moral pemimpin rasuah – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR– Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak sekeras-kerasnya penggunaan agama untuk memberikan perlindungan moral kepada pemimpin yang terlibat dalam rasuah, penindasan atau penyalahgunaan amanah.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata, pemimpin tidak boleh dianggap lebih baik hanya kerana agamanya, walaupun melakukan kezaliman, rasuah atau mengkhianati amanah rakyat.

“Rasuah tetap rasuah. Penindasan tetap penindasan. Pengkhianatan terhadap amanah tetap satu kesalahan, siapa pun pelakunya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan kenyataan dalam satu ceramah politik di Melaka yang mendakwa “sejahat-jahat orang Islam yang memerintah negara sekalipun tidak sekejam orang bukan Islam.”

Menurut Saifuddin, kenyataan itu amat dikesali kerana menjadikan agama sebagai asas untuk menilai keadilan dan kezaliman, bukannya akhlak, integriti, tindakan dan tanggungjawab seseorang pemimpin.

“Jangan kita menggunakan agama untuk memberikan perlindungan moral kepada pemimpin yang rasuah,” katanya.

Saifuddin menegaskan, seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan amanah, keadilan dan keupayaannya melindungi rakyat, bukannya identiti agama semata-mata.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 8, yang antara lain menyeru umat Islam supaya tidak membiarkan kebencian terhadap sesuatu kaum menghalang mereka daripada berlaku adil.

“Sangat jelas Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil walaupun terhadap pihak yang tidak disukai,” katanya.

Saifuddin turut mengingatkan ajaran Rasulullah SAW bahawa setiap manusia adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Kata Saifuddin lagi, Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain, sebaliknya melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik.

Menurutnya, kekuatan orang Melayu dan umat Islam tidak akan terhakis kerana menghormati hak kaum dan agama lain, malah umat Islam akan lebih dihormati apabila menjadi contoh dalam keadilan, kemajuan, kebijaksanaan serta sifat rahmah kepada seluruh manusia.

Sehubungan itu, Saifuddin mengingatkan bahawa pilihan raya sepatutnya menjadi ruang bagi rakyat menilai rekod prestasi, integriti dan kemampuan calon serta parti politik, bukannya medan untuk membangkitkan ketakutan dan prasangka berasaskan kaum serta agama.

Beliau menegaskan, agama sepatutnya menjadi wadah penyatuan masyarakat dan bukannya alat untuk memecah-belahkan rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat