PH gagal cipta gelombang penolakan, isu rasuah dan tadbir urus tidak jadi senjata – ILHAM Centre

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) gagal membentuk naratif politik menyeluruh yang mampu mencetuskan gelombang penolakan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun mempunyai isu rasuah, ketidaksamaan ekonomi dan skandal tadbir urus untuk dijadikan modal kempen.

ILHAM Centre dalam analisis terbaharunya berkata, isu yang secara tradisinya menjadi kekuatan PH untuk mencabar kerajaan gagal disatukan menjadi mesej politik yang dominan, meyakinkan dan mampu mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Menurut firma penyelidikan itu, ketiadaan naratif induk menyebabkan kempen PH bergerak secara berasingan mengikut calon dan kawasan tanpa mesej politik yang benar-benar mampu mencengkam imaginasi pengundi.

Keadaan itu berbeza dengan BN-PN yang berjaya membentuk naratif berteraskan politik identiti menerusi slogan ‘Asal Bukan PH’ sehingga mendapat sambutan merentas kawasan DUN.

ILHAM Centre berkata, BN turut memasuki gelanggang pilihan raya dengan moral jentera yang tinggi susulan keyakinan terhadap momentum politik selepas kejayaan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Pemerhatian lapangan juga mendapati kebanyakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ditandingi BN memperlihatkan aktiviti kempen lebih meriah serta penyertaan penduduk setempat, berbanding PH dan parti pesaing yang dilihat memulakan gerak kerja lebih lewat.

Sebahagian besar usaha kempen PH pula masih tertumpu kepada memperkenalkan calon berbanding memperkukuh strategi mendapatkan sokongan pengundi.

Menurut ILHAM Centre, kegagalan PH menawarkan alternatif politik yang cukup berbeza daripada pentadbiran sedia ada turut menyukarkan gabungan itu menarik pengundi yang belum membuat keputusan.

Situasi berkenaan menyebabkan PH terus bergantung kepada sokongan terasnya, khususnya pengundi bukan Melayu dan kawasan bandar, tanpa pertambahan ketara daripada segmen pengundi baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat