KPDN Selangor rekod rampasan lebih RM11 juta hingga Oktober

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merekodkan nilai rampasan berjumlah RM11.41 juta hasil tindakan penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan perdagangan domestik di negeri itu sehingga Oktober tahun ini.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, sebanyak 107,233 premis telah diperiksa dalam tempoh berkenaan, dengan 2,239 tindakan kes direkodkan di bawah pelbagai akta.

Menurutnya, jumlah itu merangkumi 1,878 kes kompaun serta-merta (KOTS) dan 361 kes sitaan.

“Nilai rampasan keseluruhan yang direkodkan ialah RM11,416,289.25, manakala nilai kompaun yang dikenakan berjumlah RM1,547,850.

“Selain itu, jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah turut mencatatkan sebanyak RM826,686,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Selangor melupuskan pelbagai barangan sitaan yang dianggarkan bernilai RM3.28 juta menerusi Program Pelupusan Ekshibit KPDN Selangor Tahun 2026 di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor, Bukit Raja, Klang, semalam.

Muhamad Hanif berkata, antara barangan dengan nilai sitaan tertinggi ialah 647 bungkusan produk tembakau tanpa asap atau tembakau kunyah bernilai RM2.64 juta.

“Antara nilai sitaan paling signifikan ialah kes membabitkan produk tembakau tanpa asap (tembakau kunyah) sebanyak 647 bungkusan dengan nilai sitaan RM2,639,760,” katanya.

Pelupusan itu turut membabitkan produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bernilai RM213,750 serta pelbagai barangan lain berkaitan pelanggaran cap dagangan dan ketidakpatuhan perundangan perdagangan.

Beliau berkata, barangan lain yang dilupuskan termasuk produk penjagaan diri, makanan dan minuman, alat ganti serta aksesori kenderaan dan barangan fesyen berjenama.

Mengulas proses pelupusan itu, beliau berkata, ia bukan sekadar membabitkan pengurusan fizikal barangan sitaan, sebaliknya sebahagian daripada rantaian pengurusan ekshibit yang penting.

“Ini bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti, ketelusan dan integriti,” katanya.

Katanya, aspek keselamatan turut diberi perhatian menerusi taklimat khas kepada pegawai terbabit, manakala kaedah pelupusan termasuk pemusnahan mekanikal dan kitar semula sisa dilaksanakan dengan mengambil kira piawaian serta keperluan Jabatan Alam Sekitar.

Muhamad Hanif berkata, KPDN Selangor akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan cap dagangan, penjualan barangan tiruan dan amalan perdagangan yang mengelirukan pengguna.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan salah laku perdagangan menerusi WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat