KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan perkhabaran gembira mengenai kejayaan pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation) Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dr Dzulkefly merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat, dan seluruh petugas kesihatan HKL yang terlibat.
Katanya, penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai oleh Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain, atas kejayaan menyempurnakan prosedur 8 jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas perkhabaran gembira mengenai kejayaan pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation) Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy di HKL.
“Syabas juga diucapkan kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala beliau.
“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara. Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin (multidisiplin) di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang.
“Kepada Lans Koperal Thierry, seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk memastikan saudara terus menerima rawatan rapi yang menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin.
“Sama-sama kita terus mendoakan agar Lans Koperal Thierry dikurniakan kesembuhan yang sempurna, dan semoga ahli keluarganya diberikan ketabahan menghadapi ujian berat ini.
“Terima kasih PDRM, terima kasih wira-wira kesihatan negara,” ucapnya.
Semalam media melaporkan, anggota polis putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong petang semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4 petang mengenai seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk di sebuah kediaman di Desa Amanpuri.
Beliau berkata, dalam usaha mempertahankan diri daripada serangan itu, anggota polis terbabit mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus.



