Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput mengunjungi Pameran Hanya Satu (Single) menerusi siri ke-13 dengan menampilkan karya Tumbuh, sebuah karya instalasi hasil kolaborasi Azam Aris dan Yuki Mun yang sedang berlangsung sehingga 20 Disember ini di Balai Seni Negara.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, Tumbuh mengambil inspirasi daripada cerita rakyat mengenai penjaga hutan yang tidak kelihatan dan dipercayai memelihara keseimbangan alam.
Katanya, idea tersebut menjadi titik permulaan kepada karya yang mengetengahkan proses pertumbuhan yang berlaku secara senyap tetapi berterusan, serta hubungan antara manusia dan alam yang sentiasa wujud walaupun tidak dapat dilihat secara langsung.
“Dengan ketinggian kira-kira 14 kaki, instalasi ini dibina menggunakan bahan semula jadi seperti tempurung kelapa, jerami padi, batang pokok kelapa dan tali jut yang disusun membentuk struktur organik.
“Bentuk karya mengambil inspirasi daripada cara tumbuhanberkembang secara semula jadi melalui pergerakan yang tidak teratur, iaitu membengkok, berpintal, bercabang dan berkembang tanpa mengikut laluan yang lurus.
“Pemilihan bahan yang dekat dengan kehidupan seharian turut menjadi antara elemen utama dalam penghasilan karya ini.
“Bahan seperti tempurung kelapa dan jerami padi yang lazim ditemui diolah daripada objek biasa kepada bentuk serta konteks visual dan ruang yang baharu, sekali gus memperlihatkan potensi bahan semula jadi dalam penghasilan karya seni kontemporari, ”katanya lagi.
Ujarnya, dalam konteks kehidupan masa kini yang berkembang pesat, Tumbuh mengajak pengunjung untuk melihat semula hubungan manusia dengan alam yang sering kurang diberikan perhatian.
“Karya ini menekankan bahawa hubungan tersebut penting dalam memastikan keseimbangan dan keharmonian antara manusia dengan persekitarannya
terus terpelihara.
“Penggunaan bahan organik turut menjadikan karya Tumbuh berubah secara semula jadi sepanjang tempoh pameran.
“Perubahan ini menjadi sebahagian daripada metafora yang dibawa menerusi karya ini, iaitu proses pertumbuhan yang sentiasa berkembang dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran, ”ujarnya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai program atau pameran, sila layari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara. – SUARA.TV



