DOHA – Malaysia mencadangkan pewujudan koridor digital rentas sempadan bagi membantu usaha pembangunan semula Palestin pascakonflik, termasuk di Gaza, Ramallah dan Tebing Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu membuka ruang kepada negara peserta untuk menyumbang melalui kerjasama kesalinghubungan dan ekonomi digital.
Menurutnya, idea berkenaan tercetus hasil perbincangan bersama Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin, Huda Al-Wahidi mengenai cabaran pembangunan semula yang dihadapi negara itu.
“Saya berbincang dengan timbalan menteri dari Palestin tentang cabaran yang dihadapi di Palestin, khususnya selepas konflik, antaranya ialah pembangunan semula, bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Ramallah dan Tebing Barat.
“Bagaimanakah kita boleh turut serta, mewujudkan satu koridor yang dapat membantu secara positif usaha pembangunan semula sebuah negara seperti Palestin?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Digital Majlis Founding Roundtable bersempena Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 di sini, Selasa.
Fahmi berkata, kerjasama digital rentas sempadan perlu dibangunkan dengan mengambil kira perbezaan keadaan ekonomi, kawal selia dan teknologi setiap negara peserta.
Katanya, usaha mewujudkan koridor digital memerlukan pemahaman jelas mengenai cabaran di setiap pasaran, termasuk kos kesalinghubungan, tahap literasi digital, keselamatan dan kepercayaan.
Sehubungan itu, keperluan setiap negara perlu dikenal pasti terlebih dahulu supaya bidang kerjasama yang dipilih dapat menangani cabaran sebenar yang dihadapi.
Beliau turut mencadangkan supaya Digital Majlis menubuhkan sekretariat kerja dalam tempoh 90 hari bagi menyelaraskan maklumat dan data daripada negara peserta.
Menurutnya, sekretariat itu boleh membantu mengenal pasti peluang mewujudkan koridor digital antara pasaran, bermula dengan inisiatif berskala kecil sebelum diperluaskan.
“Tempoh 90 hari pertama bukanlah penentu segala-galanya, sebaliknya lebih kepada satu pembuktian konsep sekiranya kita dapat melaksanakannya antara dua pasaran, maka kita boleh mempertimbangkan untuk meluaskannya,” katanya.
Fahmi berkata, pendekatan berkenaan juga perlu mengambil kira perbezaan pandangan negara peserta terhadap ekonomi digital serta keutamaan pembangunan masing-masing.
Katanya, penetapan prinsip asas kerjasama dapat membantu Digital Majlis menterjemahkan perbincangan kepada inisiatif yang praktikal.
Dalam hubungan itu, Malaysia bersedia menyumbang kepakaran melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, tumpuan kerjasama perlu diberikan kepada usaha mengenal pasti dan menangani cabaran praktikal bagi membina masa depan digital yang lebih terhubung dan dinamik.
Sesi anjuran Persatuan Sistem Global bagi Komunikasi Mudah Alih (GSMA) itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggubal dasar dan wakil industri telekomunikasi untuk meneroka peluang memperkukuh kerjasama digital rentas sempadan.
Fahmi berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) dari 6 hingga 11 November.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran. – Bernama



