Cikgu Ali dakwa Ab Rauf jadi Ketua Menteri melalui paksaan, banyak projek membazir

KLEBANG – Calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mendakwa pelantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka sebelum ini tidak dibuat atas kehendak wakil-wakil rakyat, sebaliknya melalui paksaan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Ali memberitahu, beliau sendiri berada dalam situasi ketika pelantikan itu berlaku dan mendakwa Ab Rauf telah memaksa bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk melepaskan jawatan dengan menandatangani surat mengakui tidak sihat untuk menjalankan tugas.

“Ketika itu saya sebagai Ketua Bahagian dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka telah mengumpulkan akuan bersumpah (SD) daripada wakil-wakil rakyat. Majoritinya tetap mahukan Datuk Sulaiman sebagai Ketua Menteri,” dakwanya dalam temu bual khas bersama SuaraTV.

Beliau berkata, percubaan tersebut bagaimanapun gagal selepas Ab Rauf menggunakan pendekatan lain sehingga berjaya dilantik sebagai Ketua Menteri.

Mengulas prestasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Ab Rauf, Cikgu Ali mendakwa banyak projek yang dilaksanakan tidak memberikan manfaat kepada rakyat, sebaliknya merupakan pembaziran.

Antaranya, beliau membangkitkan kos pembinaan Jambatan Tun Teja yang didakwanya menelan belanja hampir RM9 juta tetapi tidak mempunyai keistimewaan.

“Kalau melalui Jambatan Tun Teja, tidak ada apa-apa yang istimewa. Ia menjadi satu pembaziran yang ketara kepada negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk keperluan lebih mendesak seperti masalah kekurangan tempat letak kereta di Hospital Melaka.

Selain itu, Cikgu Ali turut mempersoalkan lawatan ke luar negara yang didakwa dilakukan kerajaan negeri, termasuk lawatan ke Australia yang didakwanya menelan belanja RM2.43 juta.

Dakwa beliau, lawatan yang kononnya bertujuan mempelajari kaedah pembinaan jalan di Australia itu turut disertai ramai Exco dan wakil rakyat yang tidak mempunyai kaitan dengan bidang tersebut.

“Kalau tujuan ke luar negara adalah untuk melihat cara pembinaan jalan, sudah cukup sekiranya kerajaan membawa pegawai atau jurutera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Tetapi beliau membawa ramai Exco dan wakil rakyat yang tidak ada kaitan,” katanya.

Beliau mendakwa, rombongan tersebut menyewa lebih 10 buah karavan lengkap dengan tukang masak, yang disifatkannya sebagai pembaziran wang rakyat.

“RM2.43 juta itu kalau diberikan bantuan RM3,000 kepada peniaga tepi jalan, seramai 810 orang akan mendapat faedah,” katanya.

Dalam pada itu, Cikgu Ali turut mendakwa beberapa projek pelancongan yang diusahakan kerajaan negeri gagal, termasuk projek di Paya Lebar dan Floating Market di Sungai Melaka.

Beliau mendakwa bot-bot yang disediakan di Paya Lebar kini telah terbengkalai dan projek tersebut tidak menjadi seperti yang diwar-warkan.

Menyentuh soal pelancongan, beliau berkata sektor itu sebenarnya telah lama dibangunkan oleh pemimpin terdahulu seperti Tun Ali Rustam dan Tan Sri Rahim Thamby Chik, dan hanya perlu digilap.

Ditanya mengenai keputusannya meninggalkan Umno selepas 41 tahun, CIkgu Ali berkata beliau tidak lagi dapat bersama parti itu setelah melihat terlalu banyak perkara yang tidak dapat diterimanya.

Beliau mendakwa pemimpin Umno lebih cenderung mencari kepentingan diri dan mengaitkan beberapa kes seperti Tabung Haji, FELDA dan 1MDB dengan pemimpin parti tersebut.

Katanya, beliau memilih untuk bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yakin dengan keikhlasan perjuangan bekas Perdana Menteri itu yang berani menegur isu 1MDB sehingga dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat