KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan persoalan sama ada Menteri Pengangkutan Anthony Loke sudah bersedia untuk melepaskan jawatannya susulan Umno telah mengesahkan pembayaran denda RM50 juta bagi memenuhi syarat pengampunan diraja Datuk Seri Najib Razak.
“Jam berapa Menteri Pengangkutan akan letak jawatan hari ini dan kemaskan barang-barang keluar dari pejabat? soalnya ringkas dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sementara itu, Penasihat Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, sekiranya Najib berpindah ke kediamannya perhatian pastinya tertumpu kepada sama ada Anthony Loke akan mengotakan pendiriannya.
“Perkembangan hari ini menyaksikan Umno mengesahkan pembayaran denda RM50 juta bagi memenuhi syarat pengampunan diraja Najib. Pembayaran ini membuka laluan untuk beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
“Persoalan yang lebih menarik ialah kesan politiknya terhadap Kabinet Kerajaan Perpaduan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu. Beliau menyatakan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa apabila Najib kembali ke rumah untuk menjalani tahanan rumah.
“Jika Najib berpindah ke kediamannya perhatian pastinya tertumpu kepada sama ada Anthony Loke akan mengotakan pendiriannya.
“Namun, isunya bukan sekadar seorang menteri melepaskan jawatan, tetapi bagaimana Kerajaan Perpaduan mengurus perbezaan prinsip antara parti-parti yang membentuk kerajaan.
“Adakah isu Najib akan kekal sebagai isu kehakiman dan pengampunan, atau berkembang menjadi ujian sebenar terhadap ketahanan politik Kerajaan Perpaduan?
“Inilah perkembangan yang wajar diperhatikan dalam beberapa hari mendatang,” ujarnya yang juga seorang pengamal undang-undang.
Pada 29 Sept lalu, media melaporkan Anthony Loke menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
berkuat kuasa pada tarikh Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan dari penjara.
Anthony Loke berkata, beliau diminta oleh Perdana Menteri untuk mengekalkan jawatan tersebut untuk satu tempoh.
Namun ketika ditanya tentang tempoh masa untuk memegang jawatan tersebut, beliau berkat peletakan jawatan berlaku secara automatik sekiranya Najib dibebaskan.
“Tempoh masa itu ialah apabila Najib pulang ke rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya.
Sebelum ini, beliau dilapor menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Menurut Anthony Loke, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara tangan kepada Anwar selepas mengadakan perbincangan.
“Dalam perbincangan tersebut, Anwar menasihati saya untuk meneruskan tugas buat sementara waktu. Beliau akan membuat keputusan, tetapi saya katakan bahawa perlu juga ada satu tempoh masa, ” katanya.a



