KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani hari ini telah bersetuju menerima memorandum daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berhubung Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2026 bagi Negeri Sarawak.
Menurut Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Seri Fahmi Fadzil, penyempurnaan pindaan ini merupakan langkah penting sebelum penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) digantung di Sarawak, bagi membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak secara teratur, di samping mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
“Pelaksanaan penyerahan kuasa akan dibuat secara berfasa dengan pengurusan buangan terjadual sebagai fasa permulaan.
“Kerajaan Madani terus komited memastikan agenda pelaksanaan MA63 diterjemah melalui tindakan dan keputusan konkrit demi memperkukuh hubungan Persekutuan dengan Negeri serta menjamin kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak,” kata Fahmi.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan perkara demikian susulan mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
“Perintah tersebut telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan seterusnya akan diangkat untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam memastikan pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan, selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Madani dalam merealisasikan komitmen di bawah MA63, khususnya berkaitan pemberian kuasa perundangan Persekutuan dalam bidang alam sekitar kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” jelas Fahmi.



