MCMC pasang 2,157 titik Wi-Fi di UniSZA, RM634 juta perluas Internet di 538 institusi seluruh negara

KUALA NERUS – Sebanyak 2,157 titik capaian Wi-Fi telah dipasang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi IPTA Fasa 2 dan Fasa 3 bagi memperluas akses Internet berkapasiti tinggi kepada mahasiswa serta warga universiti.

Pelaksanaan projek itu melibatkan tiga lokasi utama iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), sekali gus meningkatkan liputan serta kapasiti rangkaian di kawasan pembelajaran, penyelidikan dan kolej kediaman.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini mengadakan lawatan kerja ke UniSZA Kampus Gong Badak bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI memperkukuh infrastruktur digital di institusi pendidikan tinggi.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kemudahan Internet berkualiti tinggi bukan sahaja penting bagi menyokong aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, malah membantu melahirkan graduan berkemahiran digital yang mampu memenuhi keperluan industri.

“Projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui MCMC ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperluas akses digital di institusi pendidikan tinggi.

“Kemudahan Internet yang berkualiti bukan sahaja menyokong pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, malah membantu melahirkan graduan berkemahiran digital yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara,” menurut kenyataan MCMC hari ini.

Selain penyediaan kemudahan Wi-Fi, sebuah menara komunikasi 4G di Kampus Gong Badak turut mula beroperasi pada Oktober lalu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rangkaian selular di sekitar kawasan universiti.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC memaklumkan sebanyak RM45.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek USP Wi-Fi di 37 lokasi seluruh Terengganu.

Projek berkenaan merangkumi institusi pengajian tinggi awam, institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta institusi latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Sehingga 30 Oktober 2026, sebanyak 33 daripada 37 lokasi atau 89 peratus projek di Terengganu telah siap dilaksanakan.

Pada peringkat nasional pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM634.1 juta melalui dana USP bagi melaksanakan projek penyediaan kemudahan Wi-Fi di 538 lokasi institusi pendidikan dan latihan awam di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 467 lokasi atau 87 peratus telah siap dilaksanakan setakat 30 Oktober lalu.

Pencapaian itu menunjukkan kemajuan pelaksanaan usaha memperluas akses Internet berkapasiti tinggi, khususnya bagi memastikan mahasiswa dan pelatih institusi awam mempunyai kemudahan digital yang lebih baik.

Menurut MCMC, peluasan kemudahan Internet di institusi pendidikan merupakan antara langkah penting dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selain menyokong penggunaan teknologi digital dalam aktiviti akademik dan penyelidikan.

Inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat masa hadapan dengan melengkapkan generasi muda menggunakan kemudahan dan pengetahuan digital yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

MCMC menegaskan pelaksanaan Projek USP Wi-Fi mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kemudahan digital berkualiti dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh warga institusi pendidikan dan latihan awam di seluruh negara. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat