KUALA LUMPUR – Peguam utama Datuk Seri Najib Razak Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada bekas Perdana Menteri itu berhubung pembayaran denda RM50 juta.
Menurut Shafee, beliau juga tidak dapat menjangkakan sama ada pembayaran itu akan dibuat dalam minggu ini.
“Saya tidak dapat meramalkan. Setakat yang saya ketahui, sehingga hari ini, tiada arahan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Putrajaya hari ini, seperti dilaporkan Sinar Harian.
Muhammad Shafee berkata, spekulasi mengenai kemungkinan pembayaran denda itu dibuat hari ini didorong oleh laporan media
Terdahulu, media melaporkan, Najib dijangka melunaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Putrajaya hari ini, bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Sebelum ini, Muhammad Shafee mengesahkan lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen yang diperoleh ialah di kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta.
Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.
Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.



