KUALA LUMPUR, 4 Nov – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin mempersoalkan tindakan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang penerbitan laporan berita yang belum disiarkan, sambil membangkitkan persoalan mengenai amalan undang-undang dua darjat serta kebebasan media di Malaysia.
Beliau merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November lalu yang membenarkan permohonan injunksi oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bagi menghalang agensi berita antarabangsa Bloomberg News menerbitkan kenyataan dan dakwaan yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya.
Dalam tulisan bertajuk “Undang-undang Dua Darjat”, Kadir berkata sepanjang pengalamannya sebagai wartawan dan pengarang sejak 1969, tindakan undang-undang berkaitan fitnah lazimnya diambil selepas sesuatu kenyataan diterbitkan atau diucapkan.
“Sepanjang ingatan dan pengalaman saya, media massa tidak pernah diseret ke mahkamah dan dihukum kerana laporan yang belum disiarkan,” katanya.
Menurut Kadir, amalan biasa dalam kewartawanan ialah wartawan mendapatkan ulasan daripada individu atau pihak yang bakal disebut dalam laporan, khususnya apabila ia membabitkan isu sensitif.
Katanya, proses berkenaan merupakan sebahagian daripada prinsip ketelusan, kebebasan bersuara dan hak menjawab atau *right of reply* yang menjadi asas penting dalam kewartawanan profesional.
Beliau menjelaskan pihak yang tidak bersetuju dengan sesuatu laporan boleh memberikan penjelasan, menafikan dakwaan atau meminta kenyataan balas mereka diterbitkan oleh organisasi media berkenaan.
Malah, perkembangan komunikasi digital kini membolehkan hampir semua organisasi media menyediakan ruang komen dan maklum balas kepada pembaca.
Kadir berpandangan amalan tersebut boleh membantu mengurangkan pertikaian berkaitan fitnah dan memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan pendirian masing-masing.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat keadaan apabila kerajaan atau pihak berkuasa cuba menyekat penyebaran maklumat, tetapi tindakan individu mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang penerbitan laporan sebelum ia disiarkan disifatkannya sebagai sesuatu yang jarang berlaku.
Dalam kes Farhash, Kadir berkata Bloomberg dilaporkan telah menghubungi ahli perniagaan itu untuk mendapatkan maklum balas mengenai artikel yang sedang disediakan.
Namun, menurut kenyataan peguam Farhash, artikel berkenaan didakwa mengandungi kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi anak guam mereka.
Susulan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin pada Isnin membenarkan permohonan injunksi sementara yang menghalang penerbitan, pengedaran atau penyebaran kenyataan dan dakwaan tertentu yang dikenal pasti dalam prosiding tersebut.
Menurut laporan The Edge, permohonan Farhash turut menyentuh dakwaan berkaitan campur tangan terhadap badan pengawal selia, perolehan dan pelantikan kerajaan serta kegiatan jenayah, yang semuanya dipertikaikan oleh beliau sebagai palsu dan berunsur fitnah.
Perintah sementara itu dijadualkan untuk didengar semula pada 16 November ini dengan kedua-dua pihak berpeluang mengemukakan hujah masing-masing.
Kadir bagaimanapun tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa injunksi tersebut bermakna kandungan laporan Bloomberg tidak akan diketahui umum.
Beliau menjangkakan Bloomberg akan mencabar perintah berkenaan dan isu yang dipertikaikan berkemungkinan dibangkitkan dalam prosiding mahkamah.
Dalam tulisannya, Kadir turut mengaitkan perkembangan itu dengan kedudukan Farhash sebagai bekas pembantu rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau membandingkan tindakan undang-undang tersebut dengan kontroversi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang pernah mengancam mengambil tindakan saman terhadap The Wall Street Journal susulan pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kadir berpandangan golongan berpengaruh dan mempunyai kemampuan kewangan lebih besar berupaya menggunakan khidmat peguam terkemuka bagi mempertahankan kepentingan serta reputasi mereka.
Sebagai contoh, beliau merujuk kes SRC International yang menyaksikan Najib diwakili barisan peguam ternama, manakala Anwar turut mendapat khidmat pasukan guaman besar dalam kes-kes mahkamah yang pernah dihadapinya.
Beliau turut membangkitkan dakwaan mengenai sebahagian besar tertuduh di Malaysia yang tidak mendapat perwakilan guaman mencukupi, berdasarkan kajian yang dirujuknya daripada Majlis Peguam Malaysia.
Bagi Kadir, keadaan itu menggambarkan jurang akses kepada keadilan antara golongan berkemampuan dengan rakyat biasa.
“Demikianlah dunia dua darjat,” katanya mengakhiri tulisan berkenaan.
Sementara itu, firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Farhash sebelum ini menegaskan bahawa tindakan undang-undang tersebut bertujuan melindungi reputasi anak guam mereka daripada penerbitan dakwaan yang dianggap palsu, tidak berasas dan berunsur fitnah.
Firma itu turut memaklumkan pihaknya tidak berhasrat membincangkan merit kes secara terbuka memandangkan pertikaian tersebut masih dalam prosiding mahkamah.
Perintah injunksi yang diberikan pada 2 November itu bersifat sementara dan belum merupakan keputusan muktamad mengenai kebenaran atau kepalsuan dakwaan dalam artikel yang dipertikaikan.
– SuaraTV



