KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain pada Selasa telah mengadakan lawatan kerja ke zon sempadan Selatan Sarawak membabitkan perbatasan Malaysia-Indonesia.
AKPS dalam hantaran di Facebook agensi itu memkalumkan, Shuhaily melawat di Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega, di mana lawatan ini bertujuan meninjau secara dekat kesiapsiagaan operasi, keupayaan kawalan dan penguatkuasaan serta cabaran sebenar yang dihadapi oleh anggota di lapangan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan sempadan negara.
“Pada masa yang sama, tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan penyelarasan antara agensi, keberkesanan pemantauan kawasan sempadan serta usaha mempertingkatkan keupayaan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Selanjutnya, Shuhaily, meneruskan lawatan kerja ke Pos Kawalan PGA Mongkos, Serian selepas melawat Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega, bagi meninjau sendiri operasi harian serta mengenal pasti permasalahan yang dihadapi anggota di lapangan.
“Lawatan ini turut memberi tumpuan kepada langkah penambahbaikan operasi dan pengukuhan penyelarasan antara agensi bagi memastikan kawalan serta penguatkuasaan sempadan lebih berkesan,” kata AKPS.
Kemudian agenda lawatan kerja di Sarawak, Ketua Pengarah AKPS Shuhaily meneruskan lawatan ke Kompleks ICQS Tebedu bagi meninjau kesiapsiagaan operasi, keberkesanan kawalan serta cabaran anggota di lapangan.
“Lawatan di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia ini turut menumpukan pengukuhan penyelarasan antara agensi dan pemantauan berterusan bagi membendung kegiatan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.
“AKPS komited untuk terus memperkukuh kawalan sempadan secara bersepadu, responsif dan berkesan demi memelihara keselamatan negara serta menjamin keselamatan penduduk setempat,” katanya.



