ADUN Mata Ayer, Perlis Wan Badariah meninggal dunia

KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Perlis, Wan Badariah Wan Saad daripada PAS dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Berita pemergian Allahyarhamah dimaklumkan oleh ADUN Tambun Tulang yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak menerusi hantaran Facebook petang Sabtu.

“Innalillahiwainnailaihirojiun, Allahhummaghfirlaha Warhamha Waafihi Waafuanha.

“Mendapat perkhabaran telah pergi meninggalkan kita YB Wan Badariah (ADUN Mata Ayer) sebentar tadi. Mohon didoakan agar diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya.

Wan Badariah, 50, merupakan antara tokoh wanita PAS Perlis yang mencatat sejarah apabila menjadi calon wanita pertama diketengahkan parti itu dalam pilihan raya pada November 2022.

Allahyarhamah yang berasal dari Padang Siding, Perlis, merupakan seorang peguam dan mempunyai firma guaman sendiri di Alor Setar, Kedah, sebelum melibatkan diri secara langsung dalam politik pilihan raya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pauh, Arau dan Sekolah Menengah Agama Al-Islahiah, Behor Mali sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penglibatannya dalam PAS bermula melalui kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan sejak usia muda, termasuk mengikuti aktiviti parti bersama ibunya.

Allahyarhamah kemudian aktif dalam organisasi PAS kawasan Arau dan sayap Muslimat, selain terlibat dalam kegiatan berkaitan perundangan serta pembelaan hak wanita.

Beliau pernah menganggotai jawatankuasa PAS Kawasan Arau sejak 2019 dan memegang jawatan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau mulai 2021.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Wan Badariah dipilih mewakili PAS atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi merebut kerusi DUN Mata Ayer yang ketika itu dikuasai Barisan Nasional (BN).

Beliau mencatat kemenangan dengan memperoleh 4,419 undi, menewaskan penyandang kerusi berkenaan daripada BN, Siti Berenee Yahaya yang menerima 2,398 undi, serta calon Pakatan Harapan (PH), Amran Kamarudin dengan 794 undi.

Kemenangan majoriti 2,021 undi itu bukan sahaja menamatkan penguasaan BN di Mata Ayer, malah menjadikan Wan Badariah antara wajah baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas PN memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis.

Susulan kemenangan tersebut, Allahyarhamah dilantik sebagai EXCO Kerajaan Negeri Perlis di bawah pentadbiran Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli.

Beliau diberikan tanggungjawab terhadap portfolio berkaitan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, pelancongan, kebudayaan, kesenian serta warisan.

Sepanjang berada dalam pentadbiran negeri, Wan Badariah turut memberikan perhatian kepada isu kebajikan masyarakat, pemerkasaan wanita dan pembangunan sektor pelancongan Perlis.

Bagaimanapun, pada Mei 2024, Allahyarhamah dilaporkan mengalami komplikasi jantung dan paru-paru sehingga memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ketika menerima rawatan, tanggungjawab portfolio beliau dipangku oleh dua EXCO negeri, iaitu Wan Zikri Afthar Ishak dan Megat Hashirat Hassan.

Beliau kemudiannya kembali menjalankan tugas rasmi pada Ogos 2024 selepas tahap kesihatannya bertambah baik.

Perjalanan politik Wan Badariah turut melalui perubahan apabila berlaku pergolakan kepimpinan kerajaan negeri Perlis pada penghujung 2025 yang menyaksikan Mohd Shukri digantikan oleh Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar.

Susulan perubahan itu, PAS mengambil keputusan untuk tidak menyertai barisan EXCO baharu yang dibentuk pada Januari 2026, meskipun wakil rakyat parti berkenaan ditawarkan menyertai pentadbiran negeri.

Wan Badariah merupakan antara enam ADUN PAS yang akur dengan keputusan kepimpinan parti untuk tidak menerima pelantikan sebagai EXCO.

Dalam kenyataannya pada 8 Januari lalu, beliau menegaskan bahawa wakil rakyat PAS akan terus memainkan peranan semak dan imbang terhadap pentadbiran negeri yang diterajui BERSATU.

Menurut beliau, keputusan tidak menyertai EXCO bukan bermakna PAS meninggalkan kerajaan negeri PN, sebaliknya parti itu akan terus mengutamakan kebajikan rakyat.

“Kami akur kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

“Kami akan berperanan untuk semak dan imbang, kebajikan rakyat jadi keutamaan kami,” katanya ketika itu.

Pendirian tersebut memperlihatkan kedudukan politik Wan Badariah yang kekal bersama kepimpinan PAS ketika hubungan antara parti itu dengan BERSATU di Perlis berdepan ketegangan.

Pemergian Allahyarhamah kini menyebabkan kekosongan kerusi DUN Mata Ayer, sekali gus memberi perkembangan baharu kepada landskap politik negeri yang sebelum ini menyaksikan perubahan kepimpinan kerajaan.

Kekosongan itu juga menimbulkan persoalan mengenai keperluan mengadakan pilihan raya kecil, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan penentuan pihak berkuasa berkaitan.

Setakat berita ini ditulis, butiran lanjut mengenai urusan pengebumian Allahyarhamah belum diperoleh. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat