Serbuan polis bongkar aktiviti perjudian ala kasino dalam unit ‘Penthouse’

KUALA LUMPUR – Polis membongkar satu kegiatan judi ala mini kasino yang dikendalikan secara tertutup dalam sebuah unit ‘penthouse’ di Jalan Ampang, di sini dalam satu serbuan Op Tembok awal pagi tadi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu premis kediaman berkenaan kira-kira pukul 1.50 pagi dan menahan 16 individu terdiri daripada 14 orang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Nepal berumur antara 26 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan mendapati, unit kediaman itu dijadikan lokasi perjudian ala mini kasino melalui permainan Poker.

Beliau berkata kegiatan itu dipercayai beroperasi secara rahsia dengan jemputan hanya diberikan kepada kenalan rapat dan membabitkan warganegara China sahaja.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah meja, tujuh kerusi, sekeping kad akses, dua set dadu, sekeping kad pengedar (dealer), 214 cip pelbagai warna bernilai RM5,180, 52 keping daun terup serta wang tunai RM1,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Fadil berkata semua suspek yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyenm 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu melengkapkan siasatan.

Dalam kenyataan itu, Fadil turut menasihatkan orang ramai untuk menjauhi sebarang bentuk aktiviti perjudian.

Sehubungan itu,orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian atau kesalahan jenayah boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat