Industri pos dan kurier sumbang RM6.9 bilion, kerajaan perkukuh keselamatan pengguna – Fahmi Fadzil

SHAH ALAM – Kerajaan terus memperkukuh transformasi industri pos dan kurier negara yang kini menyumbang RM6.9 bilion kepada ekonomi digital, menerusi pembaharuan kawal selia, penggunaan teknologi serta inisiatif membanteras penipuan penghantaran bungkusan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, daya saing industri dan perlindungan pengguna, khususnya susulan perkembangan pesat sektor e-dagang.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor, Shah Alam, hari ini.

Antara langkah yang sedang diteliti kerajaan ialah cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) serta pewartaan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026), tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

Pembaharuan itu bertujuan memperkukuh keselamatan, akauntabiliti pengendali industri dan perlindungan pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran *Inisiatif Anti-Scam Parcel Shield* yang diterajui Postal Forum dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menangani penipuan berkaitan penghantaran bungkusan melalui perkongsian maklumat antara syarikat kurier dan platform e-dagang, selain penyebaran amaran penipuan kepada pengguna.

Kerajaan turut menggalakkan pelaksanaan Inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier (Courier Network Sharing) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pertindihan infrastruktur penghantaran.

Melalui memorandum kolaborasi yang dimeterai, projek rintis penghantaran peringkat akhir atau *last-mile delivery* akan dilaksanakan di lokasi terpilih sebelum potensi peluasan inisiatif itu dinilai.

Pada masa sama, transformasi digital industri diperkukuh menerusi pembangunan Sistem Pengalamatan Nasional (NAS) bagi meningkatkan ketepatan alamat dan kecekapan penghantaran.

MCMC turut menyediakan PAKEJ Map yang membolehkan pengguna mengenal pasti lebih 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara.

Sambutan HKN2026 yang bertemakan *Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan* dianjurkan Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui MCMC.

Majlis itu turut mengiktiraf sumbangan warga industri menerusi Anugerah Pekerja Kurier Terbaik, Cabaran Pemanduan Selamat serta program MyCSP Courier Safety Passport yang menekankan aspek keselamatan dan profesionalisme pekerja.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Halim Hamzah; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali; dan Pengerusi AMEC, Ronald Tan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat