Peruntukan Sabah Meningkat, Keperluan Air Bersih, Infrastruktur, Kos Sara Hidup, Pendidikan Perlu Ditangani – Naim

KUALA LUMPUR — Peningkatan peruntukan untuk Sabah di bawah Belanjawan 2027 disambut baik, namun pelaksanaan projek yang memenuhi keperluan sebenar penduduk luar bandar perlu terus diperkukuh, khususnya di Kinabatangan yang masih memerlukan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, jalan raya dan elektrik.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, keutamaan kini adalah memastikan peruntukan yang diumumkan kerajaan Persekutuan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai masyarakat di peringkat akar umbi.

Dalam temu bual khas bersama Suara TV, Naim menyambut baik peningkatan peruntukan untuk Sabah, namun menegaskan keperluan pembangunan di lapangan, khususnya kemudahan asas di kawasan luar bandar, perlu terus diberi perhatian.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keikhlasan dan komitmen beliau terhadap Sabah. Namun apabila kita lihat, walaupun jumlah peruntukan itu untuk Sabah sendiri meningkat, namun keperluan asal di lapangan itu jauh lebih besar.

“Jadi, apa yang saya mahukan adalah peruntukan ini yang berbilion-bilion ini dapat dirasai oleh masyarakat di bawah. Saya sempat mengikuti sesi libat urus mengenai belanjawan, terutama berkenaan kesihatan dan juga infrastruktur asas di luar bandar. Masih jauh ketinggalan,” katanya.

Bekalan air antara keutamaan Kinabatangan

Antara perkara yang dibangkitkannya ialah bekalan air bersih apabila daripada 18 kampung yang dikenal pasti memerlukan perhatian, hanya empat kampung mempunyai peruntukan bagi pelaksanaan projek, manakala 14 lagi masih belum dapat diusahakan.

“Sedangkan di Kinabatangan pun daripada 18 kampung saya bangkitkan mengenai isu air, hanya empat dimasukkan di dalam belanjawan dan mempunyai peruntukan untuk dijalankan bekalan air bersih ke kampung-kampung tersebut. Manakala 14 lagi kampung tidak dapat diusahakan.

“Dan justeru itu, saya mohon di pihak kerajaan itu sendiri memantau secara di lapangan bagaimana keperluan masyarakat itu dapat berjalan dengan lancar dan dapat disalurkan dengan betul,” katanya.

Menurut Naim, pemantauan di lapangan penting bagi memastikan perancangan pembangunan mengambil kira keperluan penduduk serta pelaksanaan projek dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

“Kalau kita hanya menyebut sebuah angka itu sendiri tanpa mengira keperluan di lapangan, jadi amat payahlah untuk saya selaku ahli Parlimen berkhidmat dan memberikan khidmat yang terbaik di Parlimen saya,” katanya.

Jalan raya dan elektrik turut diberi perhatian

Selain bekalan air, Naim berkata, Kinabatangan masih memerlukan pembangunan infrastruktur jalan raya dan bekalan elektrik, terutama di kampung yang belum menikmati kemudahan tersebut.

“Manakala di Kinabatangan pula, saya melihat banyak lagi isu-isu yang ketinggalan. Yang pertama adalah struktur jalan raya, kedua bekalan air dan ketiga bekalan elektrik yang masih belum sampai ke kampung-kampung.

“Justeru itu, saya sendiri ingin menjemput unit perancang agar turun ke kampung-kampung agar dapat melihat keperluan pembangunan di sana, bagaimana kita dapat merealisasikannya dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Beliau mengakui kos pelaksanaan projek di kawasan luar bandar lebih tinggi, namun menegaskan penduduk tetap berhak menikmati kemudahan asas yang diperlukan.

“Saya tahu kawasan saya ini merupakan satu kawasan di luar bandar dan kos untuk melaksanakan suatu perkara itu jauh lebih besar.

“Tapi bagaimanapun, kami juga merupakan rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat pembangunan asas bagi memastikan kualiti kehidupan kami berjalan dengan lancar,” katanya.

Kos sara hidup dan bantuan bersasar

Selain pembangunan infrastruktur, Naim turut menggesa supaya pendekatan bantuan kos sara hidup mengambil kira kos logistik yang ditanggung penduduk luar bandar, khususnya golongan B40, petani, pekebun dan nelayan.

“Apabila masyarakat tinggal di luar bandar ini, kos harian mereka lebih tinggi daripada yang menetap di bandar. Oleh kerana kos logistik barangan untuk sampai ke sana begitu jauh lebih tinggi.

“Justeru itu, rakyat di tempat saya sering kali mengadu akan kekangan kos kehidupan yang begitu meningkat dari saban tahun ke tahun. Justeru itu, saya mohon agar kementerian melihat balik cara bagaimana menyalurkan subsidi ini bagi memastikan golongan-golongan masyarakat di luar bandar ini tidak ketinggalan daripada isu peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Bagi menggambarkan cabaran yang dihadapi nelayan, beliau memberikan contoh perbezaan harga bahan api mengikut lokasi.

“Harga minyak petrol kalau di stesen minyak mungkin pada hari ini RM4 lebih. Tapi kalau dijual di luar bandar, satu botol mineral besar itu RM1.50 dengan harga RM10–RM11.

“Jadi itu satu kos tambahan kepada nelayan-nelayan kita untuk memastikan mereka ada punca rezeki untuk turun ke laut dan juga ke sungai. Jadi itu salah satunya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan meneliti kemungkinan menyediakan bantuan tambahan bagi barangan keperluan asas, selain subsidi sedia ada.

“Justeru itu, kemungkinan kementerian selain daripada subsidi yang sedia ada ini boleh memikirkan tentang keperluan-keperluan asas yang menjadi bahan ruji kepada masyarakat luar bandar seperti beras, gula, tepung, garam dan sebagainya.

“Mungkin boleh diberikan harga istimewa kepada masyarakat luar bandar agar mereka tidak terbeban oleh kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

Pendidikan sebagai pelaburan masa depan

Dalam aspek pendidikan, Naim berkata, akses kepada sekolah dan peluang melanjutkan pengajian masih menjadi keutamaan, terutama bagi pelajar yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan pendidikan.

“Kalau fokus utama saya adalah daripada segi pendidikan. Saya percaya hanya melalui pendidikan ini dapat dipulangkan kembali kepada daerah tersebut.

“Yang pertama adalah tentang pendidikan di luar bandar di mana masih lagi terdapat pelajar-pelajar yang keluarganya tidak mampu menyara kos untuk mereka menerima pendidikan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, jarak antara kampung dengan sekolah boleh mencecah 60 hingga 70 kilometer bagi sesetengah pelajar, sekali gus menambah cabaran kepada keluarga yang mempunyai kekangan pengangkutan.

“Oleh kerana jarak di antara satu kampung ke satu sekolah itu kadang-kadang ada yang mengambil jarak sehingga 60–70 km untuk sampai. Bayangkanlah kalau jalan kaki, mungkin dua hari baru sampai. Kalau naik kereta pula, kemampuan tidak ada,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa beliau menerima maklum balas daripada Kementerian Pendidikan Tinggi mengenai cadangan penubuhan sebuah kolej vokasional tambahan di Kinabatangan.

“Saya telah menerima maklum balas daripada KPT untuk satu kolej vokasional tambahan diadakan di Kinabatangan dengan pelbagai kos yang berkaitanlah.

“Saya sangat mengalu-alukan ini, memberikan peluang kepada masyarakat di Kinabatangan ini untuk tidak keluar daripada daerah dan mendapat pendidikan tinggi di daerah itu sendiri. Jadi kos untuk mendapatkan pengajian itu, mendapat ilmu itu tidak terlalu tinggi,” katanya.

Cadangan itu diharap dapat memperluas peluang pendidikan dan latihan kemahiran kepada anak muda tempatan, selain mengurangkan beban kewangan keluarga yang perlu menghantar anak ke luar daerah untuk melanjutkan pengajian.

Pembangunan perlu seiring dengan keperluan rakyat

Naim turut membangkitkan pemberian khas kepada Sabah serta tuntutan pulangan hasil 40 peratus kepada negeri itu yang menurutnya perlu diselesaikan dalam tempoh penggal kerajaan semasa.

“Selain daripada itu, saya juga ingin menyentuh tentang pemberian khas yang ditingkatkan oleh Yang Amat Berhormat PMX. Walau bagaimanapun, royalti 40% pulangan kepada Sabah itu sendiri harus ditunaikan dan harus dituntaskan sebelum akhirnya penggal Perdana Menteri kita pada kali ini.

“Justeru itu, saya minta perkara ini dapat diselesaikan bagi tempoh tahun mendatang ini sebelum berakhirnya penggal pada kali ini,” katanya.

Bagi Kinabatangan, isu bekalan air bagi kampung yang masih belum mendapat peruntukan, kemudahan jalan raya dan elektrik, kos logistik serta akses pendidikan menggambarkan keutamaan yang perlu terus diberikan perhatian dalam pelaksanaan Belanjawan 2027.

Pemantauan di lapangan dan perancangan berdasarkan keperluan setiap kampung penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat