Anwar rafak sembah tahniah Jubli Perak Sultan Selangor, kenang 25 tahun pemerintahan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda, hari ini.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar turut mendoakan agar baginda terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan serta kekal memayungi rakyat Selangor dengan adil dan saksama.

“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Baginda Tuanku terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan serta kekal qarar memayungi rakyat negeri Selangor dengan adil dan saksama. Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku,” katanya.

Sambutan Jubli Perak itu memperingati pemerintahan Sultan Sharafuddin bagi tempoh 2001 hingga 2026, dengan acara kemuncak sambutan diadakan pada 25 Oktober.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 22 November 2001, selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, sehari sebelumnya. Ketika mangkat pada 21 November 2001, almarhum Sultan Salahuddin turut bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11.

Sebelum menaiki takhta, Sultan Sharafuddin melalui tempoh panjang sebagai pewaris apabila diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor pada 3 September 1960, ketika berusia 15 tahun.

Istiadat mengangkat sumpah dan menjunjung duli sebagai Raja Muda kemudian berlangsung pada 1970 di Istana Alam Shah, Klang. Baginda memegang kedudukan sebagai Raja Muda selama kira-kira 41 tahun sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan.

Istiadat pertabalan dan kemahkotaan baginda pula disempurnakan dengan penuh adat istiadat diraja pada 8 Mac 2003 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Sambutan Jubli Perak tahun ini berlangsung dari 28 September hingga 1 November, merangkumi istiadat diraja serta program keagamaan, kemasyarakatan, kelestarian alam sekitar dan sukan.

Keseluruhan sambutan dilaksanakan secara sederhana dan berhemah, selaras titah baginda supaya mengelakkan pembaziran, manakala penjimatan peruntukan disalurkan bagi membantu rakyat yang susah. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat