RM300,000 sangat besar buat saya – Akmal buka bidaan jual motosikal, ikan tilapia untuk bayar saman Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Akmal Saleh akui perintah mahkamah supaya beliau membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada 2024 adalah jumlah yang sangat besar buat dirinya.

Sejujurnya ujar Akmal, RM300,000 itu sangat besar bagi dirinya dan apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi.

“Terima kasih kerana terus mengambil berat dan yang tidak putus-putus menitipkan kata-kata semangat, doa dan sokongan. Saya baca setiap pesanan itu dengan penuh rasa syukur. Dalam keadaan yang berat ini, ingatan sahabat semua sangat bermakna buat saya.

“Ada juga yang mencadangkan supaya dibuka tabung sumbangan bagi membantu saya menjelaskan ganti rugi dan kos berjumlah RM300,000 ini. Saya amat menghargai keikhlasan dan keprihatinan tersebut.

“Sejujurnya, saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut akan saya pikul sepenuhnya.

“Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu.

“Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu.

“Sebab itu, dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya iaitu motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan saya.

“Inilah dua aset yang telah habis dibayar dan boleh saya jual. Saya tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah ini,” ujar beliau.

Menurut Akmal, kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat dirinya.

“Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat. Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan.

“Kepada pembida yang serius, sahabat boleh memasukkan deposit RM100 ke akaun saya, kemudian menghantar resit berserta aset yang ingin dibida dan jumlah tawaran.

“Perincian akaun seperti berikut -nama: Muhamad Akmal Saleh; bank : Maybank (554053630464) (QR berada di komen) dan nombor telefon untuk penghantaran resit bidaan : 013 6232792
Sekiranya bidaan tidak berjaya, deposit RM100 akan dipulangkan sepenuhnya.

“Kepada sahabat yang mendoakan, terima kasih. Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.

“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan.

“Terima kasih kerana menemani saya dengan doa. Mudah-mudahan Allah permudahkan,” ucap beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat