Syarikat Guthrie Berhad nafi jadi punca kebakaran hutan di Indonesia

KUALA LUMPUR – Syarikat SD Guthrie Berhad (Guthrie) membuat penafian laporan yang mendakwa anak-anak syarikat atau pekerjanya mencetuskan kebakaran hutan besar-besaran di negara jiran, Indonesia.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu menyatakan mereka memandang serius sebarang kejadian kebarakan yang berlaku di kawasan operasi syarikat kerana kebimbangan kesannya terhadap masyarakat berdekatan.

“Dakwaan terhadap Guthrie menurut laporan tersebut juga tidak berasaskan bukti yang kukuh dan bercanggah dengan hasil pemeriksaan terkini di lapangan yang mengesahkan tiada kebakaran yang masih aktif dikesan di mana-mana ladang milik syarikat tersebut di Indonesia.

“Pemeriksaan tersebut juga tidak menemukan sebarang bukti bahawa kebakaran berpunca daripada anak-anak syarikat atau pekerja Guthrie,” menurut kenyataan itu.

Guhtrie memaklumkan beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Guthrie dalam laporan awam sebenarnya tidak dimiliki, diurus ataupun dikawal oleh Guthrie.

Oleh itu, tambahnya, sebarang rujukan kepada Guthrie yang bersandarkan maklumat lama atau tidak tepat perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan.

Sejak 1985, ia telah melaksanakan Dasar Sifar Pembakaran yang ketat di seluruh kawasan operasinya, di samping mendukung komitmen pembangunan Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Tanah Gambut dan Tanpa Eksploitasi, menurut Guthrie.

Syarikat itu menyatakan antara langkah pencegahan yang dilaksanakan termasuklah pemantauan paras air dalam masa nyata, pemantauan aras air bawah tanah di kawasan tanah gambut, kawalan kelembapan pada tahap yang sesuai, program pencegahan kebakaran bersama masyarakat, serta latihan pengurusan tanah secara bertanggungjawab untuk pekebun kecil dan petani tempatan.

Jelasnya, apabila kebakaran dikesan dalam kawasan atau berhampiran sempadan operasi Guthrie, syarikat tersebut akan bertindak serta-merta tanpa mengira punca kebakaran.

Anak syarikat Guthrie di Indonesia, Minamas Plantation, mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran yang terdiri daripada 1,005 anggota terlatih.

Katanya, keupayaan ini diperkukuhkan melalui penggunaan dron serta pemantauan inframerah yang meliputi kawasan konsesi perladangan dan kira-kira 322,000 hektar tanah masyarakat di sekitarnya.

Bahkan, Guthrie memperuntukkan kira-kira 3.5 bilion rupiah (RM800,000) sebulan untuk menyelenggara dan menggerakkan sumber-sumber
tersebut.

Menerusi anak-anak syarikatnya di Indonesia, Guthrie turut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani kebakaran hutan dan tanah di luar kawasan konsesinya.

Katanya, antara Januari hingga September 2026, pasukan-pasukan pemadam kebakaran syarikat telah menangani dan memadamkan 2,411 kebakaran, termasuklah 2,376 kejadian yang berlaku di tanah masyarakat setempat.

“Tindakan membantu memadamkan kebakaran di luar kawasan operasi Guthrie tidak seharusnya dianggap sebagai bukti bahawa syarikat telah mencetuskan kebakaran.

“Bagi kebakaran yang berlaku di dalam kawasan operasi Guthrie, sistem pemantauan membolehkan pengesanan awal dan tindakan pemadaman diambil dengan segera,” ujar Guthrie.

Guthrie juga mendakwa laporan itu dipercayai merujuk kepada peta Hak Guna Usaha (HGU) yang lama dan tidak mencerminkan status pemilikan atau sempadan operasi semasa.

Pada masa yang sama, laporan turut mengandungi fakta yang tidak tepat apabila menyatakan bahawa pokok-pokok sawit di kawasan kebakaran telah matang dan perlu ditebang, sedangkan pokok-pokok tersebut masih muda dan produktif.

Justeru, tegasnya, tiada keperluan bagi operasi Guthrie untuk membakar kawasan tersebut bagi tujuan pembersihan tanah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat