KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan, Maliau Basin mesti terus dilindungi daripada sebarang perlombongan, begitu juga kawasan pemuliharaan Sabah yang lain.
Jangan buka ruang atas alasan hasil negeri, pelaburan atau keperluan tenaga, kata Presiden Warisan itu.
“Apabila kita bercakap tentang perubahan iklim, pengurangan pelepasan karbon dan pembangunan mampan. Tetapi kesungguhan kita mesti diukur melalui keputusan yang kita buat terhadap hutan yang masih ada.
“Saya mahu menegaskan satu perkara. Maliau Basin mesti terus dilindungi daripada sebarang perlombongan. Begitu juga kawasan pemuliharaan Sabah yang lain. Jangan buka ruang atas alasan hasil negeri, pelaburan atau keperluan tenaga.
“Maliau dikenali di seluruh dunia sebagai Sabah’s Lost World. Hutan semula jadi yang begitu berharga ini ialah warisan yang kita pegang untuk generasi akan datang. Nilainya jauh melampaui bahan galian di bawah tanahnya.
“Ketika saya menjadi Ketua Menteri, saya telah memberikan jaminan bahawa perlombongan arang batu di Maliau tidak akan diluluskan. Pendirian saya tetap sama hari ini. Kerajaan boleh bertukar tetapi perlindungan terhadap warisan ini mesti kekal,” tegas Adun Senallang.
Shafie mengingatkan, kita sudah mempunyai pengajaran daripada bekas lombong tembaga Mamut di Ranau, di kawasan kaki Gunung Kinabalu.
“Lombong sudah ditutup tetapi masalah air berasid dan sisa perlombongan masih menjadi persoalan pemulihan alam sekitar.
“Hasil lombong boleh habis dibelanjakan tetapi masalah yang ditinggalkan boleh berlarutan hingga generasi seterusnya.
“Jangan ulangi kesilapan yang sama di Maliau. Hutan yang terbentuk sejak sekian lama tidak boleh diganti hanya dengan menanam semula beberapa baris pokok.
“Siapa akan menanggung kos jika sumber air tercemar atau habitat musnah? Jangan sampai keuntungan diperoleh hari ini tetapi rakyat dan kerajaan menanggung bil pemulihan kemudian,” katanya.
Lombong Mamut ialah lombong kuari terbuka yang terbiar yang terletak di Daerah Ranau, Sabah, Malaysia di mana dari 1975 hingga 1999 pelbagai mineral terutamanya tembaga termasuk beberapa emas dan perak dilombong.
Lombong ini dikenali sebagai lombong tembaga Malaysia yang mana ia juga menjadi perhatian orang ramai kerana warisan yang besar ke arah alam sekitar.


