KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membidas Jabatan Penjara mengarahkan Datuk Seri Najib Razak tidak mendedahkan syarat tahanan rumahnya di bawah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Peguam Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Najib dilaporkan berkata, bekas Perdana Menteri itu telah menerima perintah dan syarat tahanan rumah, tetapi diarah tidak mendedahkan butirannya.
Lip Eng berkata, syarat tahanan rumah Najib bukan rahsia negara dan tidak patut dirahsiakan, sambil menyifatkan tindakan itu “mengarut”.
Wakil rakyat DAP itu berkata, tindakan berkenaan akan mencetuskan lebih banyak spekulasi liar berhubung tahanan rumah Najib dan rakyat Malaysia berhak tahu syarat ditetapkan.
“Siapa dibenarkan melawat? Bolehkah beliau menggunakan telefon, internet dan media sosial? Bagaimana pula dengan televisyen, hiburan dan kebebasan menerima tetamu? Adakah beliau diwajibkan memakai gelang elektronik atau dipantau CCTV sepanjang masa?
“Najib masih seorang banduan, bukannya orang yang telah dibebaskan. Kes ini melibatkan kepentingan awam dan boleh menjadi rujukan bagi pelaksanaan tahanan rumah pada masa depan.
“Rakyat berhak mengetahui bagaimana hukuman penjara dilaksanakan di luar penjara,” katanya dalam kenyataan.
Lip Eng mendesak Jabatan Penjara mendedahkan syarat asas tahanan rumah Najib, walaupun maklumat sensitif berkaitan keselamatan boleh dirahsiakan, tetapi bukan semua perkara perlu dirahsiakan.
“Tahanan rumah bukan percutian di banglo mewah. Jika semuanya mengikut peraturan, mengapa takut rakyat tahu?” soalnya.
Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menggunakan kuasa pengampunan baginda untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib kepada separuh dan denda kepada RM50 juta.
Pada 18 Sept lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat tambahan kepada Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda dan pematuhan syarat lain.
Umno kemudian mewujudkan tabung bagi membantu bekas presidennya membayar denda itu, dengan pemimpin, ahli dan penyokong parti digalak menyumbang secara sukarela.


