KUALA LUMPUR – Pembangkang menjunjung titah Majlis Raja-Raja agar kemelut melibatkan institusi takhta Negeri Sembilan diserahkan kepada pihak berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, berlandaskan peruntukan serta tatacara yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Justeru, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, semua pihak perlu memberikan ruang sewajarnya kepada mekanisme perundangan serta adat yang sah untuk menentukan penyelesaian terbaik mengikut tertib dan kebijaksanaan, bagi memelihara kedaulatan institusi beraja, keluhuran undang-undang, seterusnya demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
Semalam, Raja-Raja Melayu menegaskan pihak luar tidak seharusnya mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyeru semua pihak mengutamakan penyelesaian berlandaskan undang-undang dan adat negeri.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sebarang perbezaan pendirian berhubung isu berkenaan hendaklah diselesaikan menerusi saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa dalam semangat syura serta musyawarah.
Menurut beliau, proses penyelesaian itu mestilah berlandaskan undang-undang serta berpandukan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.



