KUALA LUMPUR – Masyarakat beragama Hindu di negara ini digesa untuk menjauhi isu kontroversi yang melibatkan seorang lelaki Melayu yang ditahan pihak berkuasa agama Islam kerana penyertaanya dalam ritual Hindu termasuk semasa perayaan Thaipusam di Baru Caves.
Mereka juga dinasihatkan untuk mengelakkan tindakan atau kenyataan yang boleh menyentuh sesnsitiviti agama, demikian kata Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Thanga Ganesan.
“Tiada keperluan atau manfaat untuk masyarakat Hindu terlibat dalam kontroversi mengenai kewajipan agama seorang individu daripada agama lain,” katanya dalam satu kenyataa.
Beliau memaklumkan rumah ibadat dan perayaan kebudayaan Hindu sejak sekian lama mengalu-alukan pengunjung dan pemerhati daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya, sekaligus mencerminkan semangat keharmonian yang menjadi ciri masyarakat berbilang agama di negara ini.
MHS pada masa sama mengiktiraf dan menghormati kedudukan perlembagaan Islam sebagai Agama Persekutuan sambil mengakui hak agama lain untuk diamalkan secara aman dan harmoni, kata Ganesan.
Beliau menegaskan bahawa amalan agama mesti diimbangi dengan penghormatan terhadap undang-undang, peraturan dan sensitiviti agama yang terpakai di Malaysia.
“Bagi mana-mana perkara yang melibatkan individu beragama Islam, MHS percaya bahawa persoalan mengenai kewajipan agama, tingkah laku atau pematuhan individu terhadap peruntukan agama Islam yang terpakai adalah lebih baik diserahkan kepada pihak berkuasa agama Islam yang berkaitan untuk diperiksa dan ditangani mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada.
“Oleh itu, MHS menyeru masyarakat Hindu, termasuk organisasi agama, jawatankuasa kuil, pemimpin masyarakat dan orang ramai, untuk menahan diri dan mengelak daripada memihak, membuat tafsiran bersifat spekulatif atau mengeluarkan kenyataan provokatif yang boleh memburukkan keadaan tanpa sebarang keperluan.
“Perkara sedemikian sepatutnya ditangani oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan adil, bijaksana dan sensitif,” katanya.
Agensi media tempatan semalam melaporkan bahawa seorang lelaki yang dikenali sebagai Aliff Daniel itu turut dilihat dalam klip video yang kononnya menunjukkan dia terlibat dalam upacara “pembersihan” di Bali, Indonesia, serta dikatakan mendakwa dirinya sebagai pengamal penyembuhan kerohanian.
Aliff dan ibunya yang berusia 52 tahun ditahan di Kuala Lumpur oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas Mahkamah Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, dengan Shahzihan mengambil maklum bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mula menyiasat kes itu selepas video membabitkan kesalahan yang didakwa itu tular.


