KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour di Menara MITI bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Perancis.
Menurut Johari, perbincangan merangkumi peluang kerjasama dalam pembuatan termaju, teknologi dan pembangunan rantaian nilai unsur nadir bumi, serta susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis pada Julai 2025.
“Saya menekankan kepentingan pelaburan yang memperkukuh keupayaan industri tempatan, membuka peluang kepada pembekal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kami turut membincangkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (MEUFTA) bagi memperluas akses pasaran dan memperkukuh rantaian bekalan,” katanya.
Johari menyatakan, MITI akan terus bekerjasama rapat dengan Kedutaan Perancis untuk memudah cara pelaburan serta memastikan kerjasama ini membawa manfaat kepada perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.



