KUALA LUMPUR- Dua Ahli Dewan Rakyat kerajaan dan dua mewakili pembangkang dilantik sebagai Ahli Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi meneliti perkhidmatan Parlimen.
Ini susulan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Perkara ini sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen, 34 tahun selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.
Mewakili kerajaan adalah Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.
Dua wakil pembangkang pula adalah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Ahli Parlimen PN Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Terdahulu sebaik saja selesai Sesi Jawab Lisan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan usul pelantikan Ahli Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 76, lapor BH pada Rabu.
Anwar berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu bersetuju untuk mencadangkan Ahli Dewan Rakyat bagi menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul kemudian memaklumkan bahawa usul itu seharusnya dibahaskan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, oleh kerana kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan nama yang diusulkan, perbahasan tidak perlu diteruskan.



