KUALA LUMPUR – Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) menunjukkan perbezaan yang amat ketara apabila projek berkenaan di negeri Sabah hanya mampu menyiapkan 11.4 peratus pakej kerja selepas lebih 10 tahun.
Ia berbeza jika dibandingkan dengan lebuh raya sama di Sarawak yang sekarang ini berada di bahagian penyempurnaan penuh, demikian yang dinyatakan dalam kenyataan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini.
Laporan itu yang dibuat oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata LPB di Sabah Fasa 1 yang dirancang sejak 2015 melibatkan 35 pakej kerja sepanjang jajaran 706 kilometer masih belum disiapkan selepas lebih 10 tahun.
Sehingga 31 Mac lalu, beliau berkata hanya empat pakej kerja atau 11.4 peratus dengan jumlah kos asal RM0.567 bilion telah disiapkan.
“Manakala baki 31 pakej kerja atau 88.6 peratus bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan.
“Daripada 31 projek dalam pelaksanaan, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej kerja lewat jadual serta sembilan pakej kerja mendahului jadual,” menurut laporan itu.
Wan Suraya berkata antara isu pengurusan projek yang dikenal pasti sebagai ketakteraturan serius ialah kelulusan Arahan Perubahan Kerja (APK) melebihi had kuasa berjumlah RM513.99 juta dan kelewatan tuntutan kos utiliti bagi projek siap berjumlah RM41.37 juta.
Mengenai projek LPB Sarawak, Wan Suraya berkata, sebanyak 10 pakej kerja telah berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 31 Mac lalu.
Katanya, satu pakej kerja iaitu WP11 pula berada pada tahap 99.9 peratus.
“Pencapaian objektif projek LPB Sarawak belum dapat dinilai memandangkan projek belum siap sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, pengauditan mendapati kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus kontrak yang kurang cekap.
“Antaranya tuntutan pengalihan dan pemasangan semula utiliti belum dilaksanakan berjumlah RM1.780 bilion.
“Dan bayaran berjumlah RM32.07 juta telah dibuat bagi Sistem Maklumat Projek namun sistem tidak dapat diakses selepas tamat tempoh perjanjian,” katanya.


