AGC tolak representasi CEO, akauntan GISBH gugur 331 pertuduhan gubah wang haram RM38.1 juta

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali serta tiga bekas akauntan syarikat itu bagi menggugurkan 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika prosiding pengurusan kes terhadap semua tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin.

Empat tertuduh terbabit ialah Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan membabitkan lebih RM10 juta; Hamimah Yakub, 74, dengan 95 pertuduhan membabitkan RM11.4 juta; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, yang menghadapi 68 pertuduhan membabitkan RM4.7 juta; serta Mohd Khushairi Osman, 55, yang berdepan 91 pertuduhan membabitkan hampir RM12 juta.

Mohd Ashrof berkata, AGC menolak representasi itu dan memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

“Pendakwaan akan memanggil 15 hingga 20 saksi. Saya percaya enam ke lapan hari mencukupi (untuk perbicaraan),” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin, yang mewakili semua tertuduh memaklumkan bahawa pembelaan akan menghantar satu lagi representasi.

Justeru, beliau memohon satu tarikh pengurusan kes untuk pendengaran keputusan representasi berkenaan.

“Kami memohon tarikh perbicaraan dan satu tarikh pengurusan kes kerana ada satu lagi representasi yang akan dimasukkan bagi AGC meneliti tawaran kompaun terhadap anak guam kami.

“Kami akan masukkan representasi ini selepas harta-harta (tertuduh) yang disita dikembalikan secara rasmi kepada anak guam kami.

“Mungkin pada bulan Oktober (harta disita dikembalikan), bermakna kita akan masuk (representasi) pada November,” katanya, menurut BH.

Berikutan itu, Hakim Datin Fatimah Zahari menetapkan 26 Januari tahun depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Beliau juga menetapkan 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun, serta 6 hingga 8 Julai tahun depan untuk perbicaraan.

Turut hadir pada prosiding itu, dua lagi peguam bela tertuduh, Muhammad Zaim Rosli dan Kamal Hisham yang mewakili Hamimah.

Pada 10 September 2025, Nasiruddin dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara 2020 hingga 2024, membabitkan transaksi kepada beberapa pihak, antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd serta syarikat pusat jagaan kanak-kanak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat