KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Dr P. Ramasamy membuat cadangan supaya Menteri Pengangkutan Anthony Loke bukan sahaja meletakkan jawatan sebagai menteri tetapi perlu turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang juga bekas pemimpin DAP dalam satu kenyataan hari ini berkata persoalan lebih penting bukan sama ada Loke meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tetapi adakah beliau bersedia menerima tanggungjawab politik sebagai Setiausaha Agung DAP.
“Jika Loke benar-benar percaya bahawa DAP telah gagal dalam hala tuju politiknya berhubung isu Najib, beliau harus tampil dan meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung bersama pemimpin lain yang turut memikul tanggungjawab terhadap keputusan parti.
“Peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri sahaja tidak menyelesaikan masalah politik lebih mendalam yang dihadapi DAP,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau.
Beliau turut membangkitkan adakah Loke serius untuk meletakkan jawatan memandangkan ia mempunyai syarat berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani hukuman melalui tahanan rumah.
Ramasamy berkata syarat yang ditetapkan itu dilihat tiba-tiba berubah dari pengumuman awal Loke bahawa peletakkan jawatannya adalah berkenaan pengampunan Najib bukan penetapan masa berdasarkan permulaan tahanan rumah Najib.
Loke berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan berhubung pengampunan bersyarat itu, yang membolehkan bekas perdana menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah, tertakluk kepada bayaran RM50 juta dan syarat-syarat lain, ujar Ramasamy
“Beliau kemudian berkata peletakan jawatannya akan berkuat kuasa apabila Najib memulakan tahanan rumah, manakala pemimpin DAP lain dalam kerajaan perpaduan akan kekal dalam jawatan masing-masing demi kepentingan kestabilan politik,” katanya.
Ramasamy turut mencabar dakwaan Loke bahawa DAP masih mendapat sokongan kira-kira 80% pengundi Cina, dengan berkata ia sudah menjadi ‘pencapaian yang besar’ sekiranya parti itu memperoleh walaupun 40% sokongan pada PRU16.
Beliau berkata Loke perlu berhenti menganggap bahawa masyarakat Cina akan kehilangan wadah politik tanpa DAP.
“Masyarakat Cina bukan tidak berdaya dari segi politik,” katanya, sambil menambah bahawa masyarakat itu telah melahirkan generasi pengundi, golongan profesional, usahawan, intelektual dan pemimpin masyarakat yang mampu membuat pilihan politik sendiri.
Angka 80% yang disebut Loke adalah berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini, walaupun beliau mengakui bahawa untuk memperoleh 90% sokongan adalah sukar.
Beliau turut berkata parti itu perlu membina semula sokongan di luar kelompok penyokong tradisionalnya menjelang PRU16.



