SEPANG – Grab Malaysia (Grab) hari ini menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk memudahkan pergerakan ribuan peminat Formula 1 (F1) untuk perlumbaan F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Grab menyatakan petugasnya telah ditempatkan di dua kawasan iaitu di SIC dan Tempat Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP) untuk menguruskan pergerakan pemandu Grab, membantu penumpang yang menunggu serta memastikan proses mengambil penumpang berjalan lancar.
“Bagi memastikan pengunjung perlumbaan kekal selesa dalam cuaca panas ini, Grab turut menyediakan kawasan menunggu berbumbung yang dilengkapi kipas penyejuk serta minuman percuma,” katanya.
Syarikat Grab turut ada menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma antara SIC dan LTCP untuk memudahkan pengunjung yang bergerak pergi dan balik dari litar.
Grab juga memperkenalkan ciri Grab PIN&RIDE, iaitu sistem pengurusan barisan yang direka untuk mengatur barisan penumpang dan memadankan pengguna dengan rakan-pemandu yang tersedia, sekali gus mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di kawasan pengambilan penumpang.
Syarikat tersebut juga bekerjasama dengan penganjur acara bagi mewujudkan lorong khusus untuk mengambil dan menurunkan penumpang dalam usaha melancarkan aliran trafik di sekitar lokasi acara.
Perlumbaan 56 pusingan F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 akan bermula pada 3 petang ini. – SuaraTV


