BATU PAHAT – Kerajaan Negeri Johor memberikan perhatian serius kejadian kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Yong Peng di sini, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata tidak ada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah termasuk kes buli.
“Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan dan kebajikan murid di kawasan sekolah.
“Pada ketika ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam. satu insiden berlaku melibatkan pelajar terbabit yang ditemui mati dipercayai dibunuh dalam sekolah berkenaan.
Muhammad Naqib berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.
Beliau berkata sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk setiap warga Johor kerana ia adalah tempat mereka menimba ilmu, membina masa hadapan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat menyedihkan ini. Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
“Dalam tempoh ini, keutamaan kita adalah menghormati keluarga mangsa, memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti dan memastikan sebarang maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat serta bertanggungjawab,” katanya. – SuaraTV



