KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren MRT laluan Putrajaya akan mengalami kelewatan kerana kehilangan bekalan elektrik akibat perbuatan mencuri kabel berhampiran Stesen MRT Taman Equine.
Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kejadian tersebut mula dikesan pada pukul 5.24 pagi tadi apabila sebuah tren tidak dapat bergerak di stesen berkenaan.
Pasukan teknikal telah digerakkan untuk membuat pemeriksaan dan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan kuasa serta perkhidmatan tren, katanya.
Pihak RapidKL telah memulakan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan mereka.
Tren alternatif itu membabitkan tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen UPM pada kekerapan 10 minit; tren perantara dari UPM akan berpatah balik di 16 Sierra (kekerapan 10 minit) dan tren perantara dari 16 Sierra ke Putrajaya Sentral (kekerapan tujuh minit).
Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan di antara Stesen Serdang Jaya, UPM, Taman Equine, Putra Permai, 16 Sierra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre, Putrajaya Sentral.
“Disebabkan gangguan operasi ini, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya di Stesen UPM, Stesen 16 Sierra dan Stesen Putrajaya Sentral,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, penumpang yang menggunakan Laluan Putrajaya untuk meneruskan perjalanan ke Sepang melalui perkhidmatan ERL di Putrajaya Sentral dinasihatkan untuk mengambil kira masa perjalanan yang lebih panjang berikutan gangguan perkhidmatan tersebut.
Sebagai alternatif, jelasnya, penumpang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Stesen ERL KL Sentral dan Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.
“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang.
“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen,” katanya.
Tambahnya, Rapid KL memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan serta keselamatan operasi.
“Kami akan terus memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan dari semasa ke semasa menerusi laman media sosial Rapid KL dan aplikasi perjalanan MyRapid PULSE,” katanya. – SuaraTV


