Aubrey Suwito, Maestro muzik yang menghidupkan semula melodi dalam simfoni

KUALA LUMPUR: Panggung Sari, Istana Budaya malam tadi tidak sekadar diterangi cahaya pentas, tetapi dipenuhi penonton yang hadir untuk menyaksikan sebuah perjalanan muzik yang sudah merentasi beberapa dekad. Di hadapan mereka berdiri seorang maestro muzik, Aubrey Suwito, yang selama puluhan tahun memilih bahasa muzik sebagai cara untuk bercerita.

Pada malam itu, karya-karyanya menemukan wajah baru apabila dipersembahkan bersama National Symphony Orchestra (NSO) menerusi NSO with Aubrey Suwito – Pop Meets Symphony. Persembahan ini akan berlangsung selama dua hari yang bermula pada 2 Oktober dan berakhir pada 3 Oktober di Istana Budaya.

Dipimpin oleh konduktor Eric Lee, persembahan bermula dengan alunan Tere Bina, sebelum Aubrey membuat kemunculan untuk menyampaikan Sabar Menanti. Kemunculannya itu menjadi antara detik istimewa pada malam berkenaan, apabila beliau sendiri tampil menghidupkan karya tersebut di hadapan penonton.

Klik pada gambar

Persembahan kemudian diteruskan dengan Menuju Puncak yang membuka tirai dengan kekuatan NSO, sebelum pentas diserahkan kepada Syamel menerusi Seribu Impian dan Gemilang.

Sejak detik pertama, jelas bahawa persembahan ini bukan sekadar mahu mengulang kembali karya-karya yang pernah dikenali, sebaliknya memberikan nafas baru kepada melodi yang sudah lama menjadi sebahagian daripada ingatan pendengar. Apabila bunyi pop bertemu dengan susunan simfoni, lagu-lagu tersebut seolah-olah menemukan ruang yang lebih luas untuk bercerita.

Aubrey sendiri kemudian mengambil tempat menerusi Favourite Things, sebelum Ernie Zakri membawa Ingin Bersama Mu dan Shiha Zikir menyampaikan Awan Yang Terpilu. Tiga penyanyi dengan karakter suara yang berbeza itu menjadi warna kepada perjalanan muzik malam tersebut, sementara NSO memberikan latar yang menjadikan setiap lagu terasa lebih besar tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Klik pada gambar

Bagi Aubrey, itulah antara perkara penting yang mahu dicapai, bukan menjadikan lagu lama kelihatan asing, tetapi membiarkan karya tersebut tumbuh dalam suasana baru.

Menariknya, maestro muzik itu sendiri mengakui bahawa berada di atas pentas bersama orkestra besar tetap membuatkan dirinya berdebar. Walaupun sudah begitu lama dalam industri, Aubrey tidak menafikan rasa gementar ketika menanti persembahan bermula. Secara berseloroh, beliau mengakui kakinya menggeletar, namun di sebalik gurauan itu terselit rasa hormat yang besar terhadap NSO yang mempunyai kira-kira 56 pemuzik.

Baginya, bermain bersama kumpulan sendiri jauh berbeza kerana segala-galanya lebih mudah dikawal, sedangkan apabila berhadapan dengan orkestra, seorang pemuzik perlu sentiasa berada pada tahap terbaik kerana sedikit leka sahaja boleh menyebabkan seseorang tertinggal.

Aubrey malah menggambarkan orkestra itu seperti “binatang buas” yang sangat berkuasa dan sedikit mengintimidasi. Namun, itulah yang menjadikan pengalaman tersebut begitu bermakna kepadanya. Bermain bersama NSO bukan sekadar memenuhi tuntutan sebuah persembahan, tetapi menjadi satu penghormatan besar buat seorang pemuzik yang sudah lama membina kehidupannya di sekeliling bunyi, melodi dan susunan muzik.

klik pada gambar

Apa yang lebih menarik, Aubrey tidak mahu penyanyi yang terlibat terlalu terikat dengan versi asal lagu. Pesannya kepada mereka cukup jelas: “Lupakan original. Saya tak nak you compete dengan original.” Baginya, tidak perlu ada percubaan untuk menandingi penyanyi terdahulu kerana setiap penyanyi mempunyai warna dan cerita sendiri.

Lagu yang sama boleh membawa perasaan yang berbeza apabila diberikan kepada suara yang berbeza, dan di situlah terletaknya keindahan sebuah karya yang mampu hidup lebih daripada sekali.

Perkara itu cukup dirasai Aubrey ketika Ernie Zakri membawakan Pesanan Buat Diri. Sebagai pencipta, beliau sudah tentu mengenali lagu itu luar dan dalam, tetapi tafsiran Ernie pada malam tersebut memberikan kesan yang begitu kuat sehingga Aubrey mengakui dirinya hampir menitiskan air mata.

Penghayatan Ernie membuatkan sebuah lagu yang sudah dikenalinya terasa seperti sedang diperkenalkan semula, membuktikan bahawa karya yang baik tidak semestinya terikat kepada satu cara untuk dirasakan.

Persembahan diteruskan dengan Bukan Cinta Biasa / Bersandar Pada Cinta dan Bila Larut Malam yang memberikan ruang lebih luas kepada NSO untuk menyerlahkan kekuatan muzik mereka.

Kemudian Shiha kembali dengan Umpan Jinak Di Air Yang Tenang dan Jodoh Tak Ke Mana, disusuli Ernie melalui Pesanan Buat Diri dan Persis Katarsis. Syamel pula mengangkat tenaga pentas menerusi Gemuruh, sebelum tiga penyanyi tersebut kembali bersama untuk menyampaikan Memori Tercipta sebagai penutup.

Pemilihan lagu-lagu itu sendiri seperti membuka helaian perjalanan Aubrey sebagai seorang pemuzik. Ada karya yang sudah menjadi sebahagian daripada memori pendengar, ada karya yang memperlihatkan pengaruh muzik yang membentuk dirinya dan ada juga lagu-lagu yang mahu diketengahkan kembali melalui perspektif orkestra.

Aubrey turut menyebut A.R. Rahman sebagai antara pengaruhnya, selain muzik Bollywood yang banyak memberikan inspirasi, sementara kecintaannya terhadap karya P. Ramlee pula menjadi antara sebab muzik legenda tersebut turut diberikan ruang dalam persembahan.

Di sebalik semua itu, satu perkara yang jelas ialah Aubrey tidak mahu Pop Meets Symphony menjadi persembahan yang terlalu berat untuk dinikmati.

Beliau mengakui sebelum konsert bermula, ada sedikit kerisauan kerana tidak tahu bagaimana penonton akan memberikan respons terhadap sebuah persembahan berasaskan orkestra. Justeru, mereka cuba menghasilkan sesuatu yang berbeza tetapi pada masa sama tetap mesra kepada telinga penonton.

Klik pada gambar

Dan melihat Panggung Sari yang dipenuhi penonton pada malam pertama, kebimbangan itu akhirnya terjawab melalui tepukan dan reaksi yang diberikan sepanjang persembahan. Bagi Aubrey, jika penonton menikmati apa yang dipersembahkan, itu sudah cukup untuk membuatkan dirinya menganggap malam tersebut sebagai satu kejayaan.

Beliau sendiri merasakan dari sudut muzik, persembahan itu antara usaha terbaik yang mereka hasilkan, walaupun masih ada beberapa perkara yang mahu diperbaiki untuk malam seterusnya.

Mungkin di situlah kita dapat memahami siapa Aubrey Suwito sebenarnya. Di sebalik gelaran maestro muzik dan segala pengalaman panjang yang dimilikinya, masih ada seorang pencipta yang mahu mendengar, mahu belajar dan masih memikirkan sama ada muzik yang dibawanya sampai kepada hati penonton.

Dia tidak berdiri di atas pentas semata-mata untuk memperlihatkan apa yang telah dicapainya, tetapi untuk melihat semula bagaimana karya-karya yang pernah lahir daripada dirinya masih mampu bernafas dalam zaman yang berbeza.

Apabila Memori Tercipta dinyanyikan bersama oleh Syamel, Ernie Zakri dan Shiha Zikir, malam itu seperti sampai kepada sebuah titik yang cukup indah. Lagu yang menjadi penutup itu seolah-olah merangkum keseluruhan perjalanan persembahan tentang karya yang dicipta, suara yang menghidupkannya dan penonton yang akhirnya memberikan makna kepada setiap melodi.

Selepas sekian lama, Aubrey dapat melihat muziknya bukan lagi sebagai sesuatu yang hanya berada di dalam sejarah peribadinya, tetapi sebagai sebahagian daripada memori orang lain.

Itulah mungkin kekuatan seorang maestro muzik. Bukan sekadar kerana mampu mencipta melodi yang indah atau mengisi rakaman dengan susunan yang sempurna, tetapi kerana mampu meninggalkan sesuatu yang terus hidup apabila dirinya sudah tidak lagi berada di hadapan.

Muzik Aubrey telah melalui pelbagai suara, zaman dan bentuk, namun pada malam pertama Pop Meets Symphony, ia kembali bergema dengan wajah yang baharu di hadapan sebuah Panggung Sari yang penuh.

Dan ketika bunyi terakhir perlahan-lahan hilang bersama tepukan penonton, yang tertinggal bukan hanya sebuah persembahan yang selesai, tetapi sebuah perjalanan yang seakan-akan disambung semula.

Aubrey Suwito mungkin telah mencipta lagu-lagu itu bertahun-tahun lalu, tetapi malam tersebut membuktikan bahawa sesebuah melodi tidak pernah benar-benar berakhir apabila ia selesai dimainkan. Selagi ada manusia yang mendengarnya, merasainya dan menyimpannya dalam ingatan, muzik itu akan terus mencari jalannya sendiri dari satu generasi kepada generasi yang lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat