KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Huan Cheng Guan mempersoalkan mengapa kerajaan gagal mendapatkan tunggakan kutipan lebih RM200 juta daripada Zetrix AI Berhad sedangkan syarikat itu, menurutnya, melaporkan keuntungan bersih RM540 juta dalam tempoh enam bulan.
Huan menyifatkan perkara itu sebagai kegagalan tadbir urus kerajaan MADANI yang memerlukan penjelasan segera, khususnya mengenai pemantauan terhadap wang rakyat yang dikutip melalui perkhidmatan kerajaan elektronik.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan telah mengesahkan bahawa Zetrix AI, dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Berhad, mempunyai tunggakan kepada Kerajaan Persekutuan membabitkan kutipan cukai jalan, lesen memandu dan saman sejak Mei 2023.
“Ke mana wang itu pergi? Ketika berhutang RM200 juta kepada kerajaan, syarikat itu melaporkan keuntungan bersih RM540 juta dalam tempoh enam bulan.
“SPRM mesti menyiasat sama ada terdapat unsur pecah amanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan wang berkenaan merupakan bayaran orang ramai yang menggunakan platform tersebut atas kepercayaan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Ini wang rakyat. Wang yang dibayar rakyat Malaysia biasa yang mempercayai sistem kerajaan elektronik,” katanya.
Huan turut mempersoalkan bagaimana kutipan sebesar itu didakwa boleh tertunggak selama lebih tiga tahun tanpa dikesan, serta mekanisme pemantauan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan mengapa konsesi berkenaan dibenarkan diteruskan walaupun kutipan yang sepatutnya diserahkan kepada kerajaan didakwa belum dijelaskan.
“Jika sebuah perniagaan kecil gagal membuat bayaran selama sebulan, tindakan segera diambil. Mengapa pemegang konsesi dibenarkan mengumpulkan tunggakan RM200 juta?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan memberikan jaminan bahawa orang ramai yang telah membayar cukai jalan, lesen memandu dan saman melalui MyEG tidak akan terjejas oleh isu tersebut.
Katanya, kesahan cukai jalan dan lesen memandu pengguna perlu dijelaskan supaya rakyat tidak menanggung akibat daripada kegagalan pihak yang mengendalikan kutipan.
“Kerajaan mesti memberikan jaminan mutlak bahawa rakyat tidak akan dikenakan tindakan akibat kegagalan MyEG,” katanya.
Sehubungan itu, Huan menggesa Kementerian Pengangkutan menerbitkan laporan audit penuh dan perjanjian kutipan berkenaan bagi membolehkan penelitian secara telus.
Beliau turut meminta Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan awam dengan segera, selain menggesa SPRM menyiasat pengendalian wang kutipan tersebut.
Pada masa sama, katanya, kerajaan mesti menjamin semua transaksi yang dilakukan rakyat melalui MyEG dilindungi dan diiktiraf.
“Pendirian Parti Wawasan Negara jelas — Demi Negara, Untuk Rakyat. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana syarikat, sebesar mana sekalipun, menahan wang rakyat dan hasil kerajaan,” katanya.
Huan menegaskan isu itu bukan sekadar melibatkan tunggakan kewangan, malah menyentuh kepercayaan awam terhadap sistem kerajaan elektronik.
“Kerajaan MADANI perlu memberikan jawapan kepada rakyat,” katanya.



