CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.
Menurut suruhanjaya itu, sekiranya penelitian mendapati wujud pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah suatu perkara yang tidak wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi ketika melibatkan saat kehilangan dan kedukaan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai turut digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
MCMC menegaskan kemajuan AI membuka banyak manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.



