KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan mengenai perubahan tempoh masa tambahan ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026, malam tadi.
Menurut kenyataan FAM, perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu menyaksikan tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudian berubah kepada tujuh minit.
FAM memandang serius perkara tersebut, khususnya kerana perlawanan berkenaan mempunyai implikasi terhadap kedudukan akhir Kumpulan A dan penentuan pasukan yang layak ke final.
“Sehubungan itu, FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut,” menurut kenyataan itu.
FAM menegaskan pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting bagi memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.
Menurut persatuan itu, insiden berkenaan wajar diberikan perhatian sewajarnya berikutan kepentingannya terhadap persaingan dalam kumpulan tersebut.
“Justeru, FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, FAM menegaskan permohonan itu bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.
Sebaliknya, langkah tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan.
FAM turut menekankan kepentingan ketelusan, ketekalan dan kejelasan dalam pelaksanaan peraturan berkaitan bagi memastikan integriti pertandingan terus terpelihara.


