Helios Solar Park Gua Musang disasar beroperasi akhir 2028, meterai kerjasama strategik

KUALA LUMPUR — Projek Helios Solar Park di Gua Musang, Kelantan kini memasuki fasa pelaksanaan dengan beberapa pelantikan rakan strategik dan teknikal dimuktamadkan bagi menyokong pembangunan taman solar berkapasiti 1,000 megawatt puncak (MWp).

Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Datuk Dr Zuraidi Ishak berkata pembangunan taman solar itu akan dimulakan menerusi dua peringkat masing-masing menyumbang 500 MW kapasiti tenaga solar selain disokong kemudahan BESS berkapasiti 1,600 MWh.

Beliau berkata projek itu disasarkan bersedia untuk penjanaan kuasa komersial menjelang akhir 2028, tertakluk kepada kelulusan dan kemajuan pembangunan.

“Helios Solar Park terletak di Gua Musang dan menyediakan kapasiti 1,000 MWp atau satu gigawatt, serta 1,600 MWh BESS.

“Ia akan dibangunkan dalam dua fasa berkapasiti 500 MW setiap satu dan akan bersedia untuk penjanaan kuasa komersial menjelang akhir 2028, insya-Allah,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian dan Sidang Media Helios Solar Park di sini, hari ini.

Menurutnya, empat pelantikan teknikal utama telah dibuat bagi membentuk asas kejuruteraan projek sebelum ia bergerak ke peringkat pembangunan seterusnya.

Katanya, AHA Consultant dilantik sebagai perunding utama kejuruteraan dan voltan tinggi, manakala Angkasa Consulting Services mengendalikan aspek struktur awam serta kerja mekanikal dan elektrikal.

Total Power Solutions pula jelasnya akan menjalankan kajian sistem kuasa, manakala TNB Research (TNBR) terlibat dalam penilaian impak alam sekitar dan sosial.

“Empat pelantikan ini menghimpunkan keseluruhan asas teknikal bagi projek ini untuk membolehkan kami bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Helios turut memeterai kerjasama dengan Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) menerusi perjanjian pengumpulan dana dan perkhidmatan strategik yang merangkumi beberapa komponen utama projek.

Zuraidi berkata, kerjasama itu akan meneroka empat bidang, iaitu Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) dan tokenisasi kredit karbon, jangkauan pembeli tenaga menerusi Direct Power Purchase Agreement (DPPA), pengagihan bertoken serta program pemerolehan kredit karbon.

Beliau berkata, KLDX juga telah mendapatkan pelanggan pertama bagi projek berkenaan, sekali gus menunjukkan minat pasaran terhadap tenaga boleh diperbaharui yang dijana daripada projek itu.

Sementara itu, Sinohydro Corporation daripada PowerChina turut menyertai projek berkenaan menerusi kerjasama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), termasuk operasi serta penyelenggaraan fasiliti.

“Langkah seterusnya merangkumi kejuruteraan, sambungan grid, kelulusan alam sekitar, pembiayaan serta penglibatan pembeli tenaga (offtaker), yang semuanya sedang berjalan secara selari,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan Helios Solar Park bukan sekadar memberi tumpuan kepada penjanaan tenaga boleh diperbaharui, sebaliknya turut membawa pendekatan baharu dari segi struktur pembiayaan, pengurusan tenaga serta hubungan antara tenaga bersih dengan keperluan syarikat dan komuniti.

“Bermula daripada sebuah visi, kini ia semakin hampir menjadi kenyataan. Ini merupakan inovasi dalam bidang kejuruteraan, inovasi dalam bagaimana kami menstrukturkan modal serta inovasi dalam bagaimana tenaga boleh diperbaharui dihubungkan dengan syarikat dan komuniti yang memerlukannya,” katanya.

Projek Helios Solar Park sebelum ini diumumkan sebagai pembangunan tenaga berskala besar di Gua Musang, Kelantan, dengan kapasiti 1,000 MWp solar fotovoltaik dan 1,600 MWh sistem penyimpanan tenaga bateri.

Projek itu dibangunkan secara berfasa dan disasarkan mencapai operasi komersial pada 2028/2029.

Helios turut menyatakan projek berkenaan dibangunkan di bawah Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), dengan model yang menggabungkan penjanaan tenaga bersih, penyimpanan tenaga serta penyertaan korporat melalui mekanisme seperti VPPA dan REC.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat