Tamatkan segera kemelut institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan, jangan biarkan rakyat tanggung akibat – Aminuddin

KUALA LUMPUR – PKR Negeri Sembilan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar Datuk Ismail Lasim yang didakwa tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, Perkembangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah telah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan yang bermesyuarat malam tadi memandang serius kemelut institusi dan pentadbiran yang sedang melanda negeri ini.

“Kemelut ini memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan ekonomi negeri. Ketidaktentuan dalam pentadbiran berkait kedudukan Exco berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

“Urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan serta boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, serta memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

“Begitu juga dengan jawatan JPKK dan ahli majlis merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi. Sekiranya pelantikan dan fungsi institusi ini terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, keadaan semasa menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan.

Ujar Aminuddin, walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat.

“Kerajaan negeri perlu memastikan wujudnya kejelasan tentang kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran.

“Kepentingan rakyat mesti mengatasi sebarang kepentingan politik atau pertimbangan peribadi.

“Kami menyeru semua pemimpin politik agar mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Pendirian PKR Negeri Sembilan adalah jelas, akan sentiasa menjunjung kasih dan memberikan sokongan kepada Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat