KUALA LUMPUR – PETRONAS bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan ini membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan, pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira dari Kanada apabila PETRONAS bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.
“Tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan ini. Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.
“Penghargaan saya kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada PETRONAS.
“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” kata Anwar.


