RoS dituntut perjelas status logo PN pada PRN Melaka, butiran aduan dibuat Bersatu

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sudah mengutus surat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mendapatkan penjelasan mengenai penggunaan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN turut menuntut penjelasan dan butiran aduan yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada gabungan berkenaan.

“Kita (PN) sudah menulis surat kepada RoS untuk meminta penjelasan sama ada PN masih boleh menggunakan logo gabungan itu atau sebaliknya.

“Kedua, kita meminta RoS memberikan butiran bentuk aduan yang dibuat oleh Bersatu terhadap PN,” katanya selepas menghadiri Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke-57 di Istana Balai Besar, lapor Utusan di Kelantan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ketika ini PN masih menunggu jawapan dan penjelasan lanjut daripada RoS berhubung perkara tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, pihaknya sedia menggunakan logo bulan termasuk lambang dacing atau lambang lain yang bersesuaian bagi menghadapi PRN Melaka sekiranya keadaan memerlukan.

Katanya, Pas kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk menentukan penggunaan logo berkenaan.

Pada 24 September, RoS dilapor menggantung semua kegiatan PN. RoS menerusi kenyataan memaklumkan, perintah penggantungan itu dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat