KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan ajaran dinamakan new age movement (NAM).
Penjelasan itu dibuat lewat malam tadi, beberapa jam setelah dia memberikan penjelasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan kontroversi itu.
Marhamah yang juga ahli Dewan Negara itu menegaskan dia menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah.
Beliau juga mengambil perhatian serius terhadap persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat berhubung dakwaan tersebut.
“Saya berpegang teguh kepada akidah ahli sunnah wal jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut.
“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menganut, mengamalkan atau menyebarkan new age movement atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam,” katanya dalam kenyataan media.
Jakim menjelaskan, pertemuan dan ‘tabayyun’ (soal siasat) bersama Marhamah itu susulan dakwaan mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran new age movement.
Marhamah berkata berdasarkan pertemuan itu, tiada pertikaian berhubung akidah dan tiada keterlibatannya dengan new age movement.
Dalam pada itu beliau turut diberikan penjelasan berkaitan beberapa hantaran lama di media sosial, khususnya berhubung perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiaannya dikaitkan dengan new age movement.
Selain itu Marhamah menjelaskan dia tidak mempunyai hubungan peribadi dengan beberapa individu yang turut didakwa dikaitkan dengan new age movement.
“Saya tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi (dengan Umar), hubungan perguruan atau kerjasama dengan beliau berkaitan apa-apa ajaran atau fahaman.
“Pada tahun 2019, saya pernah berkongsi satu hantaran beliau dalam konteks pembangunan diri.
“Pada ketika itu, saya tidak mengetahui bahawa kandungan atau istilah tertentu yang digunakan kemudiaannya dikaitkan dengan unsur new age movement,” katanya.
Namun Marhamah mengakui bahawa terdapat beberapa istilah yang pernah dia gunakan tanpa mengetahui istilah tersebut dikaitkan dengan new age movement.
“Istilah-istilah berkenaan tidak lagi saya gunakan. Saya menerima setiap teguran dan nasihat dengan terbuka.
“Sebagai timbalan menteri yang diberikan amanah dalam portfolio hal ehwal Agama, saya komited dan akan terus memastikan setiap penyampaian dan pendekatan saya berpandukan akidah ahli sunnah wal jamaah serta merujuk pihak berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama,” katanya.



